Monday, January 4, 2010

Rentetan & Imbauan Peristiwa: Siri 1

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...


Alhamdulillah, akhirnya, dapat juga saya menitipkan beberapa bait ayat dalam ruangan ini setelah menyepi hampir sebulan lamanya meniti hari-hari yang sibuk sebagai seorang mahasiswa tahun akhir pengajian. Terasa janggal tatkala pertama kali membuka blog ini untuk dikemas kini serta diberi sedikit input bermanfaat buat tatapan para pembaca. Tergamam sebentar. Tidak tahu bagaimana mahu mencari formula untuk menarikan jari-jemari di atas papan kekunci komputer bimbit ini.

Sebelum saya terlupa, ingin saya mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada seluruh muslimin dan muslimat. Belum terlambat rasanya untuk saya berbuat demikian terhadap kalian semua. Semoga di tahun baru ini, kita berusaha untuk memperbaiki diri menjadi seorang insan yang lebih baik berbanding di masa lalu, baik dari segi amal dan ilmu.

Tahun 2010 kini telahpun menganjakkan diri kepada hari yang keempat ketika ruangan ini dikemas kini. Tatkala berkisar-kisar mencari idea untuk mengisi ruangan penulisan ini, terdetik di minda untuk berkongsi segala ranjau perjalanan hidup selama berkelana di ruang bumi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini sejak secara rasminya menjejakkan langkah pertama pada tarikh 1 Julai 2007. Berikut adalah imbauan memori yang ingin saya abadikan di sini buat tatapan para pembaca.

Bermulanya era perjalanan sebuah bahtera kehidupan di universiti. Menjadi salah seorang ahli dalam pasukan tarik tali sempena Sukan Minggu Haluan Siswa (MHS) '07/'08. Di sini bermulanya sebuah perkenalan dan persahabatan yang kekal hingga ke hari ini meskipun berlainan jurusan. Semoga persahabatan ini kekal hingga ke akhirnya.


Kem Kepimpinan Asas 2007 (BLC '07) yang diadakan di Tasik Chini, Pahang. Di sini bermulanya sesi mengasahkan bakat yang terpendam dalam aspek kepimpinan.


Barisan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Rahman Putra sesi 2008 yang bergambar kenangan bersama-sama barisan pentadbiran kolej usai sesi penyerahan watikah perlantikan.


Program pertama yang dikendalikan semasa menjadi JKM, iaitu Sukan Kolej Rahman Putra 2008 (SUKRA '08). Saudara Mohd Zakiyuddin Mohd Zahari, (dua dari kanan) selaku Pengarah Program bersama-sama felo penasihat Biro Sukan & Rekreasi, En. Gobi Krishna (dua dari kiri).

0 comments: