Friday, May 14, 2010

Tak Jemukah Belajar?

Hati ini sedikit terpana tatkala mendengar ayat yang keluar dari mulut seorang mak cik yang menjual makanan di warungnya. Berikut merupakan sekilas imbauan perbualan yang berlaku petang tadi di antara saya dan mak cik tersebut usai solat Jumaat di Masjid at-Taqwa, Selayang Bharu.

Mak cik: Lama tak jumpa. Dah kerja?
Saya: Belum lagi, mak cik. Baru aje habis belajar. Insya Allah, nak sambung belajar lagi selepas nie.
Mak cik: Belajar lagi? Kau nie tak jemu-jemu ke belajar?

Saya tergumam sebentar mendengarkan ayat-ayat yang lancar keluar dari mulut mak cik terbabit. Sebenarnya, saya tidak langsung menduga itu yang bakal diluahkan oleh seorang insan yang telahpun mempunyai sebuah keluarga, di mana, anak-anaknya kini masih lagi menuntut ilmu di bangku sekolah. Bingung saya memikirkan luahan mak cik tersebut sehingga saya melangkah pulang dan tiba di rumah. Minda saya ligat memikirkan sindrom yang melanda kaum Melayu ketika ini, atau lebih persis umat Islam. Tidakkah ayat pertama yang turun wahyu daripada-Nya kepada junjungan besar, Nabi Muhammad saw melalui perantaraan Jibril as adalah surah Al-Alaq, yang menuntut manusia untuk membaca.


Membaca adalah skop atau ruang yang cukup luas untuk ditafsirkan. Ianya mengandungi pelbagai ilmu yang bisa berguna terhadap insan yang sanggup untuk bertuankan membaca. Jadi, proses pembelajaran dan pencarian ilmu sebenarnya adalah proses yang berterusan sehingga roh berpisah daripada jasad. Tidak kisahlah sama ada ilmu tersebut diperoleh secara formal mahupun tidak. Namun, mentaliti masyarakat kini harus mengubah prospek pencarian ilmu bukan semata-mata terhenti di peringkat institusi pengajian, malah perlu diteruskan dan dijadikan suatu budaya dalam kehidupan harian.



Nota Kaki: Ilmu berada di mana-mana. Cari dan kejar ia selagi hayat dikandung jasad.

0 comments: