Thursday, June 24, 2010

[Cerpan] Ombak Kasih: Bahagian 1

Aku duduk berehat sebentar. Melepaskan lelah yang berat. Penat. Seharian aku menghadap komputer ribaku. Aku melepaskan sekilas pandangan mataku ke arah jam yang terletak di atas meja, yang terletak di sudut kiri meja. Jarum jam sudahpun melepasi angka 6. Ruang pejabat sudahpun lengang. Ramai kakitangan yang sudah melangkah pulang. Tapi, aku masih lagi tidak berganjak. Masih lagi bergayut dengan helaian-helaian kertas yang agak bersepah di atas ruang meja.

Meskipun sudah lima tahun aku bekerja di syarikat Sime Darby ini, alhamdulillah, rezeki aku berterusan melimpah. Aku dinaikkan pangkat setelah bekerja hampir 2 tahun sebagai Pegawai Kanan Kejuruteraan di anak syarikat Sime Darby, iaitu Sime Engineering (M) Bhd. Tugasku agak mencabar usai aku dinaikkan pangkat. Aku merupakan salah seorang yang bertanggungjawab mengendalikan projek mega empangan hidroelekrik Bakun.

“Jauh menung kau,” sapa Zakaria sambil memegang mug di tangannya.

“Astaghfirullah ‘al ‘azim. Terkejut aku. Kalau ya pun, bagilah salam, Zakaria,” terpacul ayat-ayatku sepintas lalu. Tanganku mengurut dadaku. Hilang segala menunganku sebentar tadi.

“Tenang, Amir. Macam tu pun kau dah terkejut? Aduhai, macam mana kau nak turun naik Sarawak nanti ni,” ujar Zakaria seraya menarik kerusi di hadapanku. Duduk sambil tangannya masih lagi memegang mug. Sedikit-sedikit air di dalam mugnya dihirup.

“Yalah, bukankah elok kalau kau hulur salam? Ni tidak. Tiba-tiba saja muncul entah dari mana.” Aku masih lagi tidak berpuas hati dengan cara Zakaria. Mahu saja aku meneruskan omelanku terhadapnya. Namun, aku matikan saja setelah dia mengangkat kedua-dua belah tangannya. Seakan-akan mengaku bersalah.

“Yalah, yalah. Aku salah. Yang kau tu. Dari tadi aku terpacak kat depan pintu kau yang terbuka tu. Bukannya nak ajak aku masuk. Kau biarkan aku kat situ lagi, adalah.” Sedikit rasa terkilan lahir dalam nada suaranya.

“Kau ni termenung apa? Sampai aku kat situ kau buat dek saja,” sambung Zakaria lagi. Aku masih lagi mencari-cari ruang yang sesuai untuk aku mencelah.

“OK, OK. Aku salah. Maaf ya. Aku tak sedar yang kau dah lama di situ. Aku betul-betul letih. Mata aku dah tak mampu nak jelling mana-mana lagi dah.” Jawapan yang aku kira mampu menjawab pertanyaannya tadi. Zakaria mengerling ke arah mejaku. Tertancap matanya pada helaian kertas yang menunjukkan proses carta alir bagi pembinaan empangan tersebut.

“Kau dah siapkan dah segala dateline yang bakal dibentangkan nanti?”

Suatu pertanyaan yang memang sekali ingin aku elak. Namun, hampa. Aku menarik nafasku dalam-dalam. Cuba mencari kekuatan dalam menyampaikan jawapan yang ringkas dan padat terhadap Zakaria.

“Belum lagi. Tinggal lagi satu bahagian untuk aku siapkan. Insya Allah, minggu depan dah boleh siap.” Jawabku sepintas. Tanpa ada sebarang penambahan isi yang dirasakan tidak perlu untuk diperhalusi. Mata Zakaria memandang tepat ke dalam anak mataku. Aku menjadi rimas. Bingung.

“Kenapa kau pandang aku macam tu? Aku salah cakapkah?”

“Tak. Cuma, aku kagum. Aku kagum dengan semangat kau. Rajin. Sanggup kau bertungkus-lumus menyiapkan semua kerja yang diberikan oleh Datuk Rahim.”

“Oh, ingatkan apa tadi. Kita nie makan gaji, Zakaria. Takkan kita nak jadi bos pula. Kerja tak buat,tapi gaji nak,” jawabku.

“Jom, kita balik. Kita pergi solat dulu, OK?” Pertanyaan Zakaria yang sememangnya membuatkan aku kembali ke dunia sebenar.

“Astaghfirullah ‘al ‘azim. Aku belum solat Asar lagi. Ya Allah. Macam manalah aku boleh lupa.” Tanganku ligat mengemas segala fail dan helaian kertas yang berkenaan lalu dimasukkan ke dalam beg bimbitku. Komputer riba turut sama aku kemas. Hati aku tidak putus-putus beristighfar kepada-Nya. Kerana kerja, aku lalai menjalankan tanggungjawabku yang satu. Sujud kepada-Nya.

“Tenang. Nasib baik aku singgah pejabat kau. Kalau tidak, terlepas sudah Asar kau nanti,” ujar Zakaria sambil menungguku di muka pintu pejabatku. Aku memberikannya secangkir senyuman sebagai tanda terima kasihku kepadanya.

Itulah Zakaria. Sahabat aku semasa aku bekerja di Sime Engineering (M) Bhd. Ini. Zakaria memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Ahmad Zakaria bin Datuk Ramlan. Zakaria banyak membantu aku dari hari pertama aku dinaikkan pangkat sehinggalah kini. Banyak perkara yang aku peroleh daripadanya. Zakaria juga merupakan bos aku ketika di pejabat. Yang menjadi kebanggaan aku terhadap Zakaria adalah sikapnya yang peramah dan baik budi pekertinya. Zakaria tidak pernah membezakan pekerja-pekerjanya. Semuanya dilayan secara adil. Dan, lagi satu perkara yang aku bangga dengan Zakaria ini, dia tak pernah lalai dengan tanggungjawabnya sebagai hamba kepada Pencipta.

Aku mengekori Zakaria ke surau. Aku meletakkan segala barangan peribadi aku di suatu sudut di dalam surau berkenaan. Sekilas, aku memandang Zakaria yang sedang mengambil wudhuk. Terdetik di hatiku. Mengapalah Zakaria masih lagi membujang sehingga kini? Usianya sudahpun melncecah ke angka 34. Ligat mindaku merangka pelbagai kemungkinan namun, aku matikan saja segala tafsiran aku itu.

1 comments:

Hafizhilmi said...

teruskan menulis :)