Thursday, September 16, 2010

Puasa Sunat Syawal: Anda Bila Lagi?

Rasulullah saw bersabda: Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun.
Hadis riwayat Muslim

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga aku menyempurnakan puasa enam pada kali ini. Berturut-turut enam hari aku cuma melaksanakan puasa sunat ini. Risau kalau-kalau ketinggalan pula. Anda semua bagaimana? Diharapkan anda semua mampu mengejar amalan sunat berkenaan kerana fadhilatnya amat besar bagi sesiapa yang menunaikannya.

Puasa enam di bulan Syawal ini sebenarnya mempunyai beberapa hikmah terutamanya dari aspek kesihatan. Puasa di bulan Ramadhan telah melatih sistem pencernaan kita untuk turut sama berpuasa dari aktiviti hariannya. Maka, kehadiran bulan Syawal menyebabkan fungsi perut yang selama ini berehat dari beroperasi semasa dibulan Ramadhan, mengalami 'kejutan situasi' kerana terpaksa melaksanakan tugas-tugas mencerna makanan pada hari raya dan hari-hari yang seterusnya. Malah, dengan jemputan rumah terbuka yang diterima menjadikan perut terpaksa bekerja terus-terusan bagi menghadamkan segala isi makanan yang disalurkan kepadanya.

Justeru, puasa enam di bulan Syawal dilihat mampu untuk memberikan masa dan ruang yang secukupnya bagi sistem pencernaan untuk kembali beroperasi seperti sedia kala secara beransur-ansur demi kebaikan dan kemaslahatan jasmani tubuh manusia itu sendiri.


Persoalan Mengenai Puasa Enam dan Puasa Qada'
Situasi ini sering menjadi persoalan terhadap puasa enam iaitu adakah harus atau dibolehkan untuk menggambungkan puasa enam dengan puasa qada' di bulan Syawal. Apakah ganjaran bagi kedua-dua puasa tersebut yang diadukan sekali menjadi satu mendapat ganjaran yang sama atau bagaimana?

Syeikh Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya tentang persoalan ini menyatakan bahawa sudah cukup bagi seorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat puasa qada di bulan Syawal, dan ia akan diganjari dengan dua ganjaran sekali gus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qada terlebih dahulu.

Ini adalah kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Kebanyakan ulama Syafi'iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperoleh kurang daripada seorang yang berniat kedua-duanya.

Di dalam kitab As-Syarqawi 'Alat Tahrir yang dikarang oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan bahawa jika seseorang berpuasa qada yang tertinggal di bulan Ramadhan atau bulan selainnya, atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam. Ini adalah kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal.

Namun, pahala yang diperoleh tentulah kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya sekali.

Beliau mengambil contoh solat tahiyyatul masjid, jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu bersama jemaah atau berseorangan, maka dia akan diganjari dengan dua pahala sekali gus iaitu bersama pahala solat tahiyyatul masjid.

Ini adalah kerana maksud solat tahiyyatul masjid ialah seseorang bersolat selepas memasuki masjid sebelum ia duduk.

Namun, kebanyakan ulama berpendapat bahawa sekalipun pahala puasa enam bersama puasa qada akan diganjari bersama-sama puasa yang satu, seseorang yang melakukan kedua-duanya secara berasingan tetap akan mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah SWT.

Ini adalah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba mencari redha Tuhannya.

0 comments: