Monday, October 11, 2010

Sesat Dalam Dunia Sendiri

Kini, saya sedang bertungkus lumus menyiapkan segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah meskipun Peperiksaan Akhir Semester 1 bagi sesi kali ini hanyalah berbaki kurang sebulan saja lagi. Di kala waktu-waktu yang kritikal begini, dengan asakan mental yang sering meminta sesuatu perkara yang bertentangan dari yang sepatutnya, kadang-kadang hadir bisikan jiwa yang menerjah akal dan rasa. Bisikan nurani. Bisikan hati yang seakan-akan ingin membicarakan sesuatu.

"Adakah benar laluan yang aku ambil ini?"

"Apakah ini yang sebenarnya aku inginkan?"

"Sebenarnya, apa yang ingin aku kecapi kini?"


Semua persoalan-persoalan itu bergema acap kali. Seringkali saya membuangnya jauh-jauh kerana bisikan hati juga kadang-kala mampu dipengaruhi oleh bisikan syaitan yang cuba memberikan suatu perasaan was-was terhadap manusia. Namun, setelah berfikir sejenak, rasanya seperti ada sesuatu yang selama ini saya masih belum lagi merungkaikannya. Adakah betul pilihan yang saya lalui kini? Ketika ini, hati dan akal sedang berbolak-balik sesama sendiri. Ah! Sukarnya untuk membuat pilihan.


0 comments: