Monday, February 28, 2011

Diskusi PRK

Nasi yang berada di pinggan aku jamah dengan penuh teliti. Mata agak serabut dengan 'pemandangan' yang agak merunsingkan suasana selera di Arked Meranti. Poster-poster calon Majlis Perwakilan Mahasiswa yang bertanding pada sesi kali ini memenuhi ruang udara medan selera. Ianya sedikit sebanyak memberikan suasana baru terhadap Arked Meranti. Hanya sekali setahun saja pemandangan sebegini mampu dilihat di dalam kampus.

Kawan sekelasku pula sedang khusyuk menikmati hidangan tengah harinya. Aku dan dia makan semeja, bertentangan antara satu sama lain. Kadang-kala, pelbagai topik akan diluah dan dilontarkan semasa sedang menjamu selera. Sebagai medan untuk berdiskusi dan berkongsi idea. Termasuklah isu Pilihan Raya Kampus (PRK).

Ini hanyalah perbualan dan perbincangan semata-mata. Tiada sangkut-paut terhadap mana-mana pihak. Cuma perbualan dan diskusi membuka minda.


"Bagi pandangan kau, antara Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi, mana yang kau sokong?" Suatu soalan dilontarkan terhadap aku. Aku cuba mengambil nafas sedalam-dalamnya.

"Bagi kau pula bagaimana?" Aku memulangkan persoalan tadi kepadanya. Sengaja untuk aku melihat reaksi dan perspektif pemikirannya.

"Apa yang aku tengok, Pro-Mahasiswa ni lebih kepada pembangkang universiti. Apa yang universiti buat, ada aje yang nak dibangkang dorang." Sebuah jawapan yang sama sekali bagi aku adalah terlalu lurus. Terlalu subjektif. Tiada asas kukuh. Aku cuba memberinya peluang dan ruang untuk melontarkan perspektifnya lagi. Jika ada.

Suasana semakin sesak dengan kebanjiran mahasiswa yang datang untuk menjamu selera. Detik waktu ketika itu menunjukkan jam 12 tengah hari. Ditambah pula pada hari minggu.

"Bagi aku, Pro-Mahasiswa bukanlah sebuah pembangkang universiti. Mereka cuma membangkang kerana tidak semua perkara yang dilaksanakan universiti tu benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak. Begitu juga dengan Pro-Aspirasi. Mereka sebenarnya bukan menyanjung keseluruhan hasrat universiti. Tapi, setiap kali menjelang PRK, Pro-Aspirasi seperti diikat dan menuruti kehendak segelintir pihak. Tidak bagi Pro-Mahasiswa. Mereka bertanding atas tiket pilihan mahasiswa tu sendiri. Tidak ada mana-mana sangkutan dan sandaran terhadap golongan bukan mahasiswa." Lontarku panjang lebar.

"Kenapa mesti Pro-Mahasiswa bangkang universiti? Sedangkan dorang sendiri belajar atas tanggungan kerajaan juga." Aku senyum ke arahnya. Nampaknya, pemikiran dia masih lagi belum menerobos ruang lingkup apa itu 'mahasiswa'. Atau, dia sengaja melontarkan persoalan demi persoalan untuk melihat reaksi pandangan aku. Tidak mengapa.

"Mahasiswa tidak membangkang kalau mereka merasakan bahawa sesuatu perkara atau hal tu benar. Mereka membangkang kerana perkara tersebut tidak rasional atau tidak mendatangkan manfaat terhadap semua pihak. Kau mesti faham bahawa mahasiswa tu sendiri mempunyai hak mereka untuk menyatakan pendirian dan pendapat mereka. Bukannya mengikut telunjuk sesuatu pihak. Aspek tu yang perlu ada dalam diri dan jiwa mahasiswa. Menilai terdahulu sebelum bertindak secara rasional," ujar aku. Air tebu di gelas aku hirup sedikit demi sedikit. Menghilangkan rasa kering yang mula bertandang di tekak.

Suasana semakin dikerumuni oleh mahasiswa yang ingin menjamu selera tengah hari. Sebentar lagi, akan ada sesi manifesto daripada barisan calon-calon yang bertanding pada PRK kali ini.

Aku dan kawanku meninggalkan ruang medan selera untuk pulang ke bilik masing-masing. Kami tidak berhajat untuk mendengar manisfeto para calon kerana kami bukan lagi mahasiswa di kalangan mereka. Kami sudah melangkah setapak ke hadapan. Ingin sekali aku mengikuti laungan manifesto mereka, namun, apakan daya, calon-calon bagi kerusi Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) telah dimenangi tanpa bertanding dan kami juga tidak perlu membuang undi untuk memangkah calon-calon umum universiti yang bertanding. Ah! Alangkah indahnya PRK semasa zaman pra-siswazah.


Nota Kaki: Alangkah kertas-kertas calon perwakilan yang bertanding dikurangkan. Ianya bukan saja mencemarkan mata yang memandangkan, bahkan membentuk sebuah kampus yang lestari menjadi istilah retorik semata-mata.

0 comments: