Friday, December 30, 2011

30 Disember 2003

30 Disember. Suatu tarikh yang tiada istimewanya bagi aku. Namun, tarikh inilah yang telah mencoretkan salah satu suka duka dalam rentetan sejarah hidup aku.

Bangun Subuh pada pagi itu, seakan-akan tidak sabar untuk melangkah pergi menuju ke destinasi itu. Namun, jauh di sudut jiwa ini, seakan suatu suara mula mencerakah gemanya, melaungkan rasa gementar yang amat. Rasa debar yang menggunung. Rasa risau mula bertakuk sedikit demi sedikit.

photo

Entah di mana datangnya kekuatan untuk melangkah pergi ke destinasi tersebutpun tak tahu. Semakin hampir detiknya ke angka 10 pagi, semakin bergelojak jiwa yang menanti. Masing-masing membawa harapan dan impian yang tersayang. Beban dan galas cita-cita juga turut sama menabur kasih.

Sebelum aku melangkah keluar rumah, wajah mama aku tatap dengan sekilas. Hanya telinga saja yang menjadi teman setia mendengar kata-kata daripadanya. Bukan biadap. Tetapi hati ini terlalu kuat dipaut oleh rasa gemuruh, gementar, dan risau. Risau mata ini tertancap mata yang satu lagi. Mata yang memandang penuh pengharapan. Mata yang memandang penuh keyakinan. Tidak mampu untuk aku merobek pandangan mata tersebut.

Setibanya di destinasi tersebut, sudah ramai susuk-susuk tubuh manusia, lengkap mengenaikan pakaian sekolah bertakhtakan lencana Sekolah Menengah Kebangsaan Selayang Bharu memenuhi ruang perkarangan sekolah. Suasana berbaur menjadi satu. Ada yang bergelak ketawa sesama rakan, ada yang bersiar-siar mengelilingi kawasan sekitar, ada juga yang hanya duduk berborak santai sesama kenalan.

Tepat jam 10 pagi, suasana yang tadinya riuh-rendah, akhirnya menjadi agak lengang. Masing-masing sudah mula berarak ke tempat yang telah diarahkan oleh guru bertugas. Wajah masing-masing tatkala itu semuanya tenang, namun, dalam hatinya siapa yang mengerti. Mungkin badai resah dan risau mula menghempas tepian pantai ketenangan yang telah dibina sebelum itu.

"Baik, 3 Helium. Beratur ya untuk mengambil slip keputusan kamu." Suara cikgu Meriam Bi dilontar di sebalik kaca tingkap kelas. Sekali lagi, masing-masing di antara kami menoleh antara satu sama lain. Masing-masing cuba untuk memberi laluan kepada rakan dan sahabat untuk pergi mengambil keputusan mereka terlebih dahulu. Namun, hampa. Tiap-tiap pasang mata yang hadir ketika itu hanya memandang. Gelojak risau dan ghairah mula singgah bersilih ganti. Nama 3 Helium menjadi taruhannya kali ini. Kelas yang menjadi harapan pihak sekolah dalam meraih pencapaian cemerlang keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kali ini.

"Eh, cepatlah. Kamu tak nak ambil slip periksa ke?" getus cikgu Meriam Bi sekali lagi setelah melihat senario kami semua ketika itu. Akhirnya, salah seorang rakan perempuan kami menyerah diri, menghadap ke hadapan untuk mengambil slip keputusan peperiksaannya.

"Nur Syahirah Mohd Nadzri, tahniah. Awak dapat 8A," ceria wajah cikgu Meriam Bi menghulurkan slip berkenaan kepada empunya diri.

"Syahirah, awak dapat 8A? Tahniah." Suara-suara tahniah dan jerit sorak keriangan mula memenuhi ruang udara persekitaran ketika itu. Pasang-pasang mata yang berada di sekitar mula memandang ke arah kami. Babak kehidupan mula dipentaskan ketika itu. Pelbagai reaksi terpancar tanpa diminta.

Enam orang pelajar berturut-turut memperoleh keputusan 8A dalam PMR kali ini. 5 orang perempuan dan seorang lelaki. Namun, masih ada lagi seramai 32 orang belum lagi mahu tampil ke hadapan untuk menerima slip berkenaan. Maka, aku dengan rasa sedikit yakin, melangkah menuju cikgu Meriam Bi.

"Fahmi Mubarak ya?" soal cikgu Meriam Bi.

"Ya saya, cikgu," jawabku gementar.



Nota Kaki:
Pengakhiran kisah benar ini akan dibiarkan tergantung sebegini. Biarlah ianya menjadi andaian kepada anda yang membacanya. Andalah yang menjadi pengarah bagi sebuah sketsa drama kehidupan anda.

0 comments: