Sunday, June 21, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 18)

“Tak adalah. Merepeklah kau ni. Aku OK. Janganlah kau risaukan aku,” ujarku cuba untuk berselindung terhadap sahabat baik aku yang seorang ini.

“Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Harapnya, tidaklah sahabat baik aku ini bertanyakan lagi persoalan tersebut. Ya Allah, aku mohon pertolongan Kau,” doaku di dalam hati.

“Ayah kau kemalangan bukan?” Patah kata yang keluar daripada mulut Nazmi membuatkan jantung aku seakan-akan direnggut. Tersentap. Aku menoleh terhadapnya. Cuba aku amati riak wajah Nazmi. Sahabat yang aku kenali sejak 2 tahun lalu. Bagaimana peristiwa dia diejek oleh kawan-kawan yang lain menyebabkan dia dipinggirkan oleh sekawanan rakan sekelas. Namun, aku tampil berada di sisinya sehingga kini meskipun aku sedar aku juga akan menerima nasib yang serupa sekiranya aku menjadi pembelanya. Namun, disebabkan kes tersebut, ikatan ukhuwah persahabatan aku dan Nazmi berkekalan hingga ke detik ini.

“Mana kau tahu berita ni?” Aku bersuara serius terhadap Nazmi. Nazmi pula seakan-akan mengerti apa yang akan dipersoalkan oleh aku kelak terhadapnya.

“Aku nampak ayah dan ibu kau di hospital 2 hari lepas. Masa tu, aku pergi melawat pak cik aku yang baru lepas pembedahan,” ujar Nazmi dengan selancar yang mungkin. Dahiku berkerut mendengarkan perkhabaran tersebut.

“Amir, ceritalah dekat aku. Janganlah kau tanggung seorang diri. Perit jiwa kau tanggung seorang. At least, kau kongsilah keperitan kau tu bersama-sama aku,” sambung Nazmi lagi sambil mengharapkan respon positif daripada aku. Aku menoleh semula ke panorama yang terbentang di hadapan kaca mataku. Suatu keluhan yang berat aku lepaskan sambil aku mengambil nafas untuk memulakan luahan yang terkurung di hatiku ini.


Bersambung...

*Sekuel cerpan ini boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: