Friday, May 8, 2009

Cerpen: Ranjau Kehidupan (Bahagian 1)

Cerpen ini merupakan tugasan kokurikulum aku untuk semester ini, iaitu UQP 1041 Penulisan Kreatif 1. Jadi, untuk warkah blog pada kali ini, aku ingin berkongsi hasil penulisan aku dengan anda semua. Diharap anda semua terhibur...


“NYAH kau dari sini! Anak tak kenang budi!”

Aku mengeluh sendirian. Terasa berat sekali keluhan yang meruntun di jiwaku tatkala aku melepaskannya. Patah-patah ayat yang keluar daripada mulut ayahku acap kali bergema di ruang koklea; seakan-akan seperti pita rakaman yang sering kali memutarkan bait-bait ayat tersebut. Aku merenung kosong memandang kawasan tasik yang terbentang di hadapan ruang jendela mataku. Bertemankan suasana girang kanak-kanak yang sibuk bermain dalam dunia mereka sendiri. Berkejar-kejaran ke sana ke mari. Tidak langsung menghiraukan dengan apa yang terjadi di sekeliling persekitaran mereka. Seolah-olah esok masih ada lagi.

Aku sempat mengerling ke arah sepasang kekasih yang sibuk memadu kasih di suatu sudut wakaf di tepi tasik, tidak jauh dari tempat aku berteduh. Begitu romantiknya mereka berdua. Bergelak ketawa, senyum tersipu-sipu sambil si teruna membaling beberapa ketul batu ke dalam tasik. Si dara hanya duduk memerhatikan gelagat si teruna. Alangkah mesranya mereka berdua.

“Hmm, adakah keputusanku selama ni betul?” Ujarku dalam nada separuh berbisik.

Aku memalingkan mukaku ke atas. Terlihat akan sekumpulan unggas yang terbang secara berkumpulan. Burung Raja Udang. Barangkali terbang mencari rezeki di muka bumi Tuhan ini. Kelibat awan yang berarak dari tenggara datang membawa petanda bahawa sebentar lagi bumi ini bakal disirami dengan hujan. Namun, aku masih tidak berganjak walau seincipun. Masih lagi berteleku duduk di bawah sepohon pokok yang rendang. Mengenang kembali peristiwa yang berlaku semalam. Peristiwa yang mengubah status diriku sendiri.

“Charles, apa yang Charles buat ni? Charles dah tak sayang mama lagi?” ujar ibuku dalam nada sebak.

“Charles sayangkan mama. Tapi, ni pilihan hidup Charles. Harap mama dan papa faham.”

“Faham? Kau faham apa? Kau jelaskan sekarang macam mana kau boleh jadi macam ni? Cakap!” bentak ayahku garang.

“Tak ada sesiapapun yang paksa Charles masuk Islam. Charles sendiri yang nekadkan hati. Bukannya hasutan sesiapapun.”

“Papa tanya kau, Charles. Kau jawablah. Kenapa kau boleh jadi macam ni, ha? Kau tak pandai nak jaga maruah keluarga. Kau tengok sekarang, apa dah jadi? Di mana kami nak letak muka kami ni? Maruah kami? Cakap, Charles. Cakap!”


Bersambung...

0 comments: