Saturday, May 9, 2009

Cerpen: Ranjau Kehidupan (Bahagian 2)

Sambungan dari Bahagian 1


Aku diam. Terkedu. Hendak memandang wajah ayah aku. Sekalipun aku tak sanggup. Ayah aku ketika ini berada dalam status amuk. Hanya menunggu masa saja untuk melihatnya meletus. Ibu pula hanya mampu menangis, melinangkan air matanya sejak dari tadi.

“Ya Allah, jika ini adalah sebahagian daripada dugaan Engkau, maka aku redha untuk mengharunginya. Engkau berikanlah kepadaku kekuatan dalam menempuhinya. Hanya Engkau sajalah yang mampu memberikan pertolongan kepada hamba-hamba-Nya,” doaku di dalam hati yang tidak putus-putus sejak dari tadi.

“Charles, papa dah hilang sabar dengan kau. Dari tadi lagi papa tunggu, tapi langsung tak ada jawapan yang keluar daripada mulut kau. Charles, papa tanya kau sekali lagi. Siapa yang paksa kau masuk Islam? Apa yang buat kau jadi macam ni? Perempuan tu, bukan? Cakaplah Charles,” nada kemarahan ayahku semakin memuncak. Berbeza dengan sebentar tadi. Aku masih lagi diam membisu. Menundukkan pandanganku.

“Tak, papa. Sebenarnya, dah lama Charles masuk Islam. Tapi, Charles tak beritahu papa dan mama. Charles takut kalau papa dan mama menentang keras hasrat Charles ni. Hal ni langsung tak ada kaitan dengan perempuan tu.”

Pang! Aku terpaling ke kanan. Aku memegang raut pipi kiriku. Sakit. Terasa bagaikan fikiranku melayang sebentar.

“Papa, kenapa papa tampar Charles?” Ibuku tergesa-gesa mendapatkan diriku. Memeluk diriku yang masih lagi terkedu dengan situasi sebentar tadi.

“Charles, mulai saat ni, papa tak nak tengok lagi kau ada dalam rumah ni. Keluar! Kau bukan lagi anak papa.”

“Papa, papa sedar tak apa yang papa cakap ni? Charles ni satu-satunya anak lelaki kita,” balas ibuku dalam nada sebak. Tiada lagi linangan air mata mengalir keluar membasahi pipi.

“Mama, jangan sekali-kali mama nak halang tindakan papa. Charles bukan lagi anak kita. Dia dah pun menganut Islam. Mama tak malu terhadap jiran-jiran lain? Saudara-mara kita lagi? Mana nak letak maruah kita ni?” tegas ayahku bersuara.

“Biarlah apa yang orang lain nak kata apapun. Mama tetap tak benarkan Charles keluar dari rumah ni.”

“Mama, mama jangan nak melawan cakap papa. Papa tak nak tengok lagi muka Charles dalam rumah ni lagi. Anak derhaka. Tak kenang budi.”

Groomm! Aku tersentak dengan bunyi guruh yang berdentum di ruang langit. Hujan sudah mula menyirami permukaan bumi. Aku mula meninjau persekitaran sekeliling. Mencari-cari kawasan untuk berteduh. Tiba-tiba, mataku tertacap ke arah sebuah pondok di sebelah kiriku, tidak jauh dari tempatku berteleku. Aku bergegas ke pondok berkenaan. Aku mengelap manik-manik peluhku yang sudah bercampur dengan rintik-rintik air hujan di mukaku setibanya aku di pondok berkenaan. Aku menghela nafasku panjang-panjang. Terasa suatu bebanan terungkai tatkala aku menghembuskan nafas berkenaan.

Meow! Meow!

Kucing. Hanya itu yang terlintas di fikirkanku selepas mendengar bunyi ngiauan berkenaan. Aku mencari dari mana datangnya ngiauan itu. Tiba-tiba, mata aku terlihat seekor kucing yang basah kuyup di bawah sepohon pokok tidak jauh dari pondok tempatku berteduh. Sayu aku melihatkan keadaan fizikal kucing terbabit. Dengan tidak semena-mena, aku bangkit dari dudukku, berlari mendapatkan kucing yang basah kuyup itu. Aku mengelap tubuh badannya menggunakan sapu tanganku setelah aku bawa kembali ke pondok tersebut. Tangan aku mengusap-usap kepala kucing itu. Warna bulunya putih. Umpama kapas.

“Hmm, apalah nasib kau, kucing? Tapi, tak apa. Aku tak akan biarkan kau kesejukan di sini. Jom, ikut aku balik,” bisikku kepada kucing berkenaan.

Meow! Kucing itu memandang tepat ke arahku seperti mengiyakan percakapanku sebentar tadi. Sungguh. Memang benar, haiwan juga mempunyai naluri kasih sayang. Namun, mengapa ada manusia yang sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan hanya kerana perbezaan agama? Mengapa?


Bersambung...

0 comments: