Sunday, May 31, 2009

Cerpen: Sinar Hidupku (Bahagian Akhir)

Sambungan dari Cerpen: Sinar Hidupku (Bahagian 3)

Aku ke sekolah pada pagi itu berbekalkan dorongan dan sokongan kedua ibu bapaku dan bekalan ilmuku untuk menghadapi saat yang bakal aku tempuhi seketika nanti. Dalam masa yang sama, aku sempat mengimbau kembali kenangan pahit manisku sepanjang tahun ini. Daripada kesibukanku sebagai seorang pelajar yang menjalankan tugasnya dalam bidang akademik, aku juga melibatkan diriku dalam bidang kokurikulum; di bawah badan uniform yang aku sertai. Pelbagai sudah aktiviti kepengakapan yang telah cuba aku libatkan diri walaupun bagi seorang pelajar SPM seperti aku yang sudah kesuntukan masa, aku cuba mengimbangi masa aktivit kokurikulum dengan akademik agar seimbang. Kemudian, terlintas seketika bagaimana aktiviti study group yang kami jalankan hampir sepanjang tahun ini sudah menampakkan impaknya. Kenangan tika bersama rakan-rakan seangkatanku sewaktu bergotong royong membersih dan menceriakan kelas pada awal tahun ini sempat menjengah jendela memoriku untuk seketika. Aku tersenyum sendirian apabila memikirkan hal tersebut.

Sedar atau tidak, aku telah tiba di perkarangan sekolah tercintaku. Papan tanda ‘SMK SELAYANG BHARU’ terpampang teguh di hadapan tembok batu sekolahku. Sebentar nanti aku bakal memasuki dewan peperiksaan untuk menjalani ujian paling getir dalam hidupku. Di saat ini, aku hanya mampu berdoa kepada al-Khaliq agar memberikan sedikit kekuatan untukku menghadapi peperiksaan ini dengan tenang tanpa sebarang komplikasi yang bakal aku lalui.

Ya Allah, pencipta langit dan bumi serta segala isi baginya, Kau berikanlah nur dan petunjuk serta kekuatan-Mu kepadaku agar aku dapat menghadapi segala musibah yang bakal aku terima pada hari ini. Selamatkanlah aku dan keluargaku daripada ditimpa api neraka-Mu yang pedih lagi azab. Hanya Kau sajalah Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Amin…

Aku melangkah masuk ke dalam dewan dengan rasa yakin walaupun jantungku masih lagi berdegup dengan agak kencang. Kini, segala-galanya terletak di bahu aku. Hanya aku sajalah yang mampu mengubah nasib diriku. Segala persiapan dan ilmu yang kutimba selama ini akan aku jadikan sandaran untuk aku menempuhinya. Di saat aku mengambil tempat dudukku di dalam dewan, aku sempat melepaskan pandanganku ke luar dewan sambil menghirup udara segar pada pagi itu. Aku yakin aku boleh berjaya. Selama ini, aku bersusah payah mentelaah pelajaran demi masa hadapanku. Kini, aku yakin sepenuh hati aku dapat menggenggamnya.

Piiinnn… Piiinnn! Aku terjaga daripada lamunanku. Kereta jiranku yang membunyikan hon keretanya membuatkan aku kembali kea lam realitiku semula. Aku melihat kehijauan alam yang masih lagi segar di hadapan kaca mataku. Keadaan kini masih lagi seperti tadi. Tidak ada perubahan yang ketara. Aku melihat mentari yang sudah keluar menjengah di ufuk timur memancarkan sisa-sisa sinarnya. Dalam keadaan aku asyik memandang mentari tersebut, aku yakin bahawa aku akan beroleh kejayaan yang cemerlang kerana aku yang menentukan sinar hidupku ini. Hanya aku saja yang mampu mengukir jalan kehidupanku yang bakal aku lalui di kemudian hari. Oleh itu, hanya aku yang mampu berbuat demikian. Hanya aku…

0 comments: