Sunday, May 31, 2009

Cerpen: Sinar Hidupku (Bahagian 3)

Sambungan dari Cerpen: Sinar Hidupku (Bahagian 2)

Hanya tinggal beberapa bulan saja lagi aku akan menduduki peperiksaan yang bakal menentukan hala tuju hidupku ini. Ibarat seorang soldadu yang bakal bertempur dan berjuang demi mengekalkan keamanan, sebegitu juga denganku yang perlu mempersiapkan diriku untuk menyambut tibanya tika itu. Saat ini cuma yang aku perlukan adalah segala bekalan yang perlu aku bawa mencukupi sebelum tarikh tersebut menjengah jendela hidupku. Aku sedar kini hanya dengan segala kerahan keringatku ibarat membakar lilin di tengah malam yang dapat menjamin kesenangan hidupku. Aku terus sematkan di lubuk sanubariku untuk aku menggapai dan menggenggam kejayaan yang bakal menyaksikan hidupku berubah.

Tapi, hanya seperkara yang perlu aku tempuhi, iaitu kata dua yang ada dalam diriku. Sama ada aku perlu berusaha gigih untuk mencapainya atau aku terus hanyut dalam lautan kebebasan dan keseronokan remajaku tanpa memikirkan hala tuju hidupku. Perkara ini yang merunsingkan aqli aku kini. Aku tahu bahana jika aku tidak mengendahkan masa hadapan dan harapan kedua ibu bapaku.

“Aku tidak mahu melihat air jernih yang mengalir berguguran dari pekung kelopak mata ibuku disebabkan kegagalanku. Aku tidak mahu menjadi insan yang tiada gunanya untuk agama, bangsa dan negara. Aku… Aku perlukan perubahan. Aku perlukan semangat yang kental untuk menghadapi situasi sebegini,” getus hatiku sendirian sambil ditemani unggas yang berkicauan terbang di angkasa biru. Langit masih belum lagi disirami mentari yang membawa rahmat ke atas alam ciptaan-Nya.

“Ahh… Aku nekad. Kini, aku perlu memikirkan nasib hala tujuku dan impian ibu bapaku untuk melihat aku menerima segulung ijazah sekiranya hayat ini dipanjangkan oleh-Mu. Aku perlu gigih berusaha. Dari sekarang!” Aku semai nekadku itu dalam cebisan hatiku yang runsing memikirkan hal berkenaan. Aku yakin dengan segala usaha dan tawakalku kepada Yang Maha Esa, aku yakin lorong dan sinar kejayaan pasti aku ketemu juga akhirnya. Aku yakin…

Sang suria yang setia menjalankan rutin hariannya masih baru lagi menerjah ufuk timur. Aku sudah bersiap untuk ke sekolah. Namun, di hati ini terasa ada sedikit getaran yang berlainan sekali dengan hari-hari yang telah aku lalui sebelumnya. Pagi itu juga ada sedikit kejanggalan yang aku alami daripada biasa. Hati ini, berdegup dengan kencang sewaktu aku hampir melangkah keluar dari istana kediamanku.

“Ayang, hari ni jawab soalan periksa tu baik-baik. Baca doa. Selawat ke atas nabi sebelum jawab soalan tu,” ibuku memberitahu sebelum aku melangkah menuju ke destinasiku. Peringatan sebegitu sudah acap kali aku dengarkan daripada lidah ibuku yang sentiasa basah dengan nasihat dan peringatan.

“Mama dan abah kau mendoakan kejayaan kau, nak. Semoga kau beroleh kejayaan yang mampu mengubah kehidupan kau. Kami hanya memimpin ke arah kehidupan yang kau impikan. Kami hanya menumpang kegembiraan kau atas kejayaan yang kau kecapi,” sayunya suara ibuku yang sudah menjangkau usia setengah abad. Tersentuh pinggir hatiku atas ayat tutur kata yang diucapkan oleh bibir ibuku itu.

“Mama, abah. Terima kasih atas segala dorongan dan pengorbanan yang mama dan abah berikan. Hanya satu lagi yang Ayang pinta, doakan kejayaan Ayang untuk berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM ni nanti,” luahku kepada ibu dan bapaku sambil aku mencium kedua belah tapak tangan mereka.

Merekalah yang merupakan orang penting di sebalik kewujudanku. Merekalah yang diibaratkan sebagai paying kepada kehidupanku yang sekian lama ini. Yang masih lagi untuh berdiri di hadapan kaca mataku, walaupun usia mereka telahpun dimamah dari hari ke hari.

Bersambung...

0 comments: