Saturday, May 2, 2009

Cerpen: Takdir-Nya (Bahagian Akhir)

Sambungan dari Bahagian 5

Aku duduk di ruang halaman rumahku. Sambil menatap wajah isteriku yang lincah melaksanakan kerja-kerja mengebun pada waktu petang itu.. Sekilas dia memandangku sambil mengutus senyuman ke arahku. Aku membalasnya. Usai seminggu aku dinobatkan sebagai pengantin baru. Tidak aku sangka. Kini, rumah yang didiami aku ini kembali dihuni oleh seorang insan yang telah menjadi isteriku secara sah.

“Abang, abang. Apa yang abang menungkan tu?” Cuit isteriku apabila melihatkan aku mengelamun jauh.

“Tak adalah. Abang cuma teringatkan kembali arwah Fatin. Kakak Fatihah,” ujarku seraya memandangnya yang duduk di bangku bersebelahan denganku. Jari jemariku diusap olehnya.

“Abang tak sangka yang abang dinikahkan dengan Fatihah. Abang tak tahu yang Fatihah adalah adik kepada arwah Fatin. Yang abang tahu, Fatihah masih lagi berada di UK, menyambung pengajian Fatihah dalam bidang kedoktoran,” sambungku panjang lebar.

“Lucu, kan? Fatihah sendiri tak tahu yang abang adalah suami Fatihah. Tahu-tahu saja abah dan emak bagitahu yang ada orang nak masuk meminang Fatihah. Fatihah langsung tak perasan yang abanglah orangnya.” Masih lagi mengusap-usap tanganku. Aku merenung ke arahnya. Tiba-tiba, mataku dan mata Fatihah berlaga. Aku mengamati wajahnya. Memang mirip seperti arwah kakaknya. Dengan wajah yang bujur sirih, senyumannya yang manis menampakkan lesung pipi di kiri wajah. Cuma, Fatihah mempunyai tahi lalat kecil di bawah dagu kanannya yang menjadi pemisah antara arwah kakaknya, Fatin dengannya.

“Abang, Fatihah janji, Fatihah akan jadi seorang isteri yang baik terhadap abang sepertimana arwah kakak dulu,” sambungnya lagi.

“Abang pun berjanji yang abang akan menjaga Fatihah sebaik-baiknya sebagaimana abang menjaga arwah kakak Fatihah,” ujarku seraya menguncup dahi Fatihah. Hangat. Aku bangkit dari kerusi dan bersiar-siar di halaman rumah bersama-sama isteriku. Tidak aku sangka takdir-Nya sebegini rupa. Usaha murni ayah dan ibu dalam mencari calon isteri untuk menemani hidupku setelah pemergian arwah Fatin benar-benar membuatkanku berterima kasih yang amat terhadap mereka. Walaupun hati ini berat pada awalnya untuk menerima cadangan mereka, namun, di akhirnya, mereka lebih arif dan mengetahui apa yang baik bagi anak mereka sendiri. Syukur aku panjatkan terhadap-Nya jua kerana membantuku tatkala aku dirundum waktu-waktu keresahan dan permasalahan.

“Fatin, abang doakan agar Fatin bahagia di sana dan ditempatkan bersama golongan yang beriman,” doaku dalam hati seraya memegang erat tangan Fatihah.

“Akan aku jaga Fatihah sepenuh hatiku seperti mana aku menjaga arwah Fatin dulu,” getus hatiku sambil menghadiahkan sekuntum senyuman kepada Fatihah.

0 comments: