Saturday, May 2, 2009

Cerpen: Takdir-Nya (Bahagian 5)

Sambungan dari Bahagian 4

“Ayah, Ikram dah buat keputusan. Ikram setuju dengan cadangan ayah dan ibu tempoh hari.”

“Betul ni, Ikram? Syukur, Alhamdulillah,” lantas bangun ayahku memelukku sambil diiringi linangan air mata. Ibuku memandang tanpa berkata apa-apa. Hanya senyuman saja yang terukir di raut wajahnya bersama-sama linangan air mata yang turut sama gugur di pipi.

“Semoga Ikram bahagia nanti,” sambung ayahku lagi. Aku terpaksa berkorban demi melihat secangkir senyuman yang terukir di bibir ayah dan ibuku walaupun hati ini berat untuk menerimanya. Namun, adalah lebih baik aku mengguris hatiku sendiri daripada membiarkan kedua-dua orang tuaku memendam rasa. Mereka berdua adalah insan yang terlalu amat bermakna di sebalik kewujudanku. Segala pengorbanan dan kepayahan yang telah mereka lalui demi untuk melihatku berjaya seperti hari ini. Tanpa mereka, siapalah aku.

“Nanti ibu kenalkan dia kepada Ikram, ya,” beritahu ibuku tatkala diam sejak dari tadi lagi. Senyuman yang terukir di wajahnya masih lagi melekat di ruang mataku ketika aku memandangnya.

“Tak apalah, ibu. Ibu kenalkan kepada Ikram semasa hari perkahwinan nanti. Ikram yakin dengan pilihan ayah dan ibu. Baik bagi ayah dan ibu, baik jugalah bagi Ikram sendiri,” suaraku seraya memandang tepat ke dalam anak mata ayah dan ibuku. Aku tidak mahu keputusan yang telah aku buat ini bakal berbelah bagi kelak selepas aku bertemu dengan jodoh yang telah dipilih oleh keluargaku. Biarlah aku mengenalinya setelah aku diijab kabulkan bersamanya nanti.

“Kenapa ni, Ikram? Bukankah lebih baik kalau Ikram berkenalan dulu dengannya?” Ayah membetulkan posisi duduknya seraya memandang tepat ke arahku. Mempersoalkan kehendakku tadi. Ternyata mereka gusar dengan jawapanku sebentar tadi.

“Ayah, ibu. Ikram harap apa yang Ikram minta ni ayah dan ibu setuju. Ikram bukannya tak setuju dengan kehendak dan pilihan yang ayah dan ibu buat. Tapi, biarlah keputusan yang Ikram buat ni kekal hingga ke hari Ikram diijab kabulkan. Ikram tak nak nanti timbul perasaan berbelah bagi dengan keputusan yang Ikram buat. Ikram harap sangat-sangat agar ayah dan ibu faham dengan situasi Ikram.” Mataku mula digenangi dengan air mata. Air mata pengharapan.

“Hmm, baiklah. Kalau tu yang Ikram pinta, ayah dan ibu tak nak paksa. Kami mendoakan kebahagiaan Ikram,” ujar ayahku seraya mengusap bahuku. Ibuku memegang erat tangan kananku sambil diiringi linangan air mata.

Bersambung...

0 comments: