Sunday, May 10, 2009

Salahkah Perbuatan Aku?

Assalamualaikum dan Salam Perkhabaran kepada anda semua...

Alhamdulillah, bertemu kita lagi dalam ruangan warkah nie. Mencoretkan segala apa yang ingin dirasakan perlu untuk dikongsi bersama. Anda semua bagaimana? Sihat? Diharapkan anda semua berada dalam status kesihatan diri yang terbaik di kala dunia kini sedang hangat dilanda dengan penularan wabak H1N1, iaitu Selesema Babi. Jagalah kesihatan anda semua agar bebas daripada segala punca yang bakal menyebabkan anda semua berada dalam keadaan yang tidak selesa.

Baiklah, pada bicara kali nie, saya cuma nak meluahkan persepsi dan kekecewaan hati yang diruntun sejak petang 9 Mei 2009. Saya dan sekeluarga keluar membeli-belah di sebuah hypermarket yang ada di kawasan Selayang nie, berhampiran dengan kawasan perumahan keluarga saya. Sedang saya membantu keluarga saya membeli keperluan harian yang dirasakan perlu, entah bagaimana saya diperli oleh seorang pekerja wanita di situ. Alasannya adalah saya tersenyum kepadanya. Saya hanya memberikan senyuman yang dirasakan tidak salah kepada sesiapa saja yang saya berurusan, namun, individu nie seakan-akan melepaskan geram dengan personaliti saya tersebut. Terdetik di hati saya ketika tue. Adakah saya tersilap bicara atau terkasar perilaku sehingga individu tersebut mengatakan sedemikian? Puas saya mencari di mana kesalahan dan kesilapan saya sepanjang saya berada di sana. Hmm...

Sebelum nie, pernah saya dilabelkan sebagai seorang yang sangat serius sehinggakan ada di kalangan individu yang gusar dan takut untuk berhadapan dan berurusan dengan saya. Namun, saya sedar dengan sikap semula jadi saya tue. Jadi, saya pun berubahlah secara perlahan-lahan personaliti saya nie. Namun, kini, setelah saya mampu untuk memberikan senyuman, begini pula yang saya terima responnya. Adakah saya nie sebenarnya terlalu 'asing' bagi di kalangan manusia? Sering kali saya menghadapi situasi sebegini, namun, saya tabahkan hati saya. Tapi, sejak akhir-akhir nie, saya sering kali mempersoalkan di dalam naluri dan kalbu saya, adakah saya nie terlalu serius atau terlalu 'mahal' untuk menguntumkan senyuman?

Apalah dosa saya sehingga saya dilabelkan sedemikian rupa? Saya sedar yang saya tidak mempunyai apa-apa keistimewaan berbanding dengan makhluk ciptaan Tuhan yang lain, namun, mengapa saya acap kali diperkatakan sedemikian rupa? Saya sedar siapa saya nie sebenarnya. Tapi, hinakah saya jika mempunyai personaliti sedemikian rupa? Saya cuba untuk memuaskan hati semua pihak, namun, apa yang saya peroleh hanyalah sekadar senyuman sinis atau sindiran yang bisa mengguris perasaan nie.

Sering kali saya lontarkan jauh-jauh peristiwa-peristiwa tersebut agar saya tidak lagi memikirkannya. Tapi, kali nie, situasi nie benar-benar membuatkan saya berfikir panjang. Kini, saya rasa terkilan yang amat disebabkan peristiwa yang berlaku nie. Benar-benar menusuk kalbu. Saya runsing tatkala memikirkan peristiwa tue kembali. Hmm, kadang-kadang saya terlalu bersabar dengan kerenah manusia sehinggakan saya sendiri yang merana; menanggung kesalahan dan kekhilafan pihak lain di pundak saya.

Biarlah. Siapalah saya untuk menilai. Saya hanyalah seorang insan kerdil yang dijadikan oleh-Nya untuk memakmurkan muka bumi nie. Biarkanlah apa yang ingin dikatakan oleh individu-individu tersebut. Kemungkinan mereka alpa dengan apa yang telah mereka lakukan. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka.

Pengajarannya, walau apapun jua yang anda hadapi, ukirkanlah senyuman anda. Kerana dengan senyumanlah, anda dapat menyejukkan insan-insan yang berurusan dengan anda. Ia juga dikira sebagai sedekah bagi insan yang bergelar muslim; memberikan sekuntum senyuman. Amalan yang sekecil-kecil nielah yang mampu memberatkan amalan kita di akhirat kelak. Jadi, teruskanlah amalan menyedekahkan senyuman walaupun anda disindir sekalipun. Semoga kejadian yang berlaku pada hari nie mampu memberikan keinsafan dan hikmahnya kepada saya. Insya Allah.

Sekian untuk warkah blog kali nie. Semoga bertemu lagi di warkah yang akan datang.

Wassalam...

0 comments: