Saturday, May 9, 2009

Cerpen: Ranjau Kehidupan (Bahagian 3)

Sambungan dari Bahagian 2


April 2008. Hanya tinggal kira-kira 2 minggu lagi peperiksaan akhir semester dua akan berlangsung. Menjengah jendela diari seorang pelajar. Kini, aku menuntut di Universiti Teknologi Malaysia dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik. Aku lebih menumpukan terhadap peperiksaan akhir ini meskipun aku juga aktif dalam berpersatuan. Walaupun peristiwa hitam itu berlaku sejak empat bulan yang lalu, aku tabahkan hati menjalani kehidupanku sebagai seorang hamba-Nya. Biarlah segala apa yang berlaku terhadap diriku sebelum ini, aku anggap ianya adalah sebahagian daripada pecahan kehidupan yang perlu dilalui oleh insan yang bergelar manusia. Setiap ujian dan dugaan yang diberikan oleh-Nya adalah berbeza mengikut tahap iman seseorang manusia itu sendiri. Hanya Dia yang Maha Mengetahui dengan apa yang berlaku.

Sejak peristiwa hitam tersebut juga, aku lebih bergerak aktif dalam mendalami hal-hal keagamaan. Aku kerap kali mengikuti segala program yang berkonsepkan kerohanian seperti forum, ceramah, diskusi dan usrah yang dijalankan oleh badan-badan atau persatuan-persatuan Islam yang ada di sini. Aku, sebagai seorang pendatang baru dalam anutan Islam ini berasa amat bersyukur dan terharu dengan layanan dan kemesraan yang dipamerkan oleh saudara-saudara Islam yang lain. Tidak dapat aku gambarkan bagaimana mungkin aku dapat diterima oleh mereka sebelum aku memeluk Islam. Rasa syukur yang tidak terhingga aku panjatkan kepada-Nya.

Terbayang kembali bagaimana payahnya untuk aku mendalami ilmu agama ini. Hendak ke sesuatu ceramah mahupun forum yang dianjurkan pun rasanya terbatas untuk diikuti ketika aku berada di rumah. Sehinggakan untuk bersolat Jumaat pun aku terpaksa menyelinap secara senyap agar tidak dihidu segala perbuatan aku ini, lebih-lebih lagi kedua-dua orang tuaku. Hendak bersolat dan membaca al-Quran terpaksa aku laksanakan dalam bilikku sendiri dengan mengunci pintu. Pernah juga aku bersolat di dalam ruang bilik air kerana bilikku dihuni oleh saudara-maraku yang datang menziarah dari kampung. Kadang-kala, aku terpaksa minum air kosong untuk mengisi perut disebabkan segala hidangan yang dimasak oleh keluargaku adalah bersumberkan makanan yang berstatus haram bagiku untuk dijamah. Pernah suatu hari, keluargaku mengadakan majlis keraian di rumah bersempena dengan kejayaan ayahku yang dinaikkan pangkat. Seluruh hidangan yang disajikan sudah semestinya sedikit sebanyak mengandungi ramuan yang haram untukku jamah. Arak sudah pasti terpampang di sana sini sudut kediaman.

“Charles, kenapa ni? Charles tak sihat? Kenapa tak jamah langsung hidangan tu?” kata mama kepadaku apabila melihat aku membisu dan tidak menjamah sedikitpun hidangan sejak majlis bermula dari tadi lagi.

“Err, tak apalah, mama. Charles dah makan dah tadi. Makan udang,” petahku menipu ibu sambil melembarkan senyuman. Hambar. Ternyata hambar.

“Betul ni, sayang? Betul Charles dah makan? Mama dari tadi perhatikan Charles. Charles langsung tak jamahpun,” ibu masih lagi mencurigaiku.

“Betul, mama. Charles dah makan. Charles makan kat dapur tadi. Seganlah nak makan depan orang lain,” ujarku pantas.

“Betul, mama. Adik nampak abang makan tadi. Di dapur,” pintas adikku yang hanya membatukan diri melihat kerenah kami berdua sejak tadi lagi.

“Baiklah, kalau dah macam tu. Mari, tolong mama layan tetamu yang datang.”

“Baik, mama,” serentak aku dan adikku menjawab.

“Terima kasih, adik,” bisikku di telinganya setelah ibu hilang dari pandanganku.

“Sama-sama. Dah, jom tolong mama tu,” ujarnya sambil tersenyum manis ke arahku.

“Sebentar. Sejak bila aku makan dekat dapur? Setahu aku, aku minum air sirap saja,” getus kalbuku sendirian. Adakah adikku sudah mengetahui status sebenar diriku ini? Aku menggelengkan kepala lalu beredar membantu ibuku melayan tetamu yang semakin ramai membanjiri ruang tamu kediaman.


Bersambung...

0 comments: