Friday, May 29, 2009

SPM Had 10 Subjek: Antara Pro & Kontra

Bolehkan guru tumpu pengajaran mata pelajaran teras: Muhyiddin

SEREMBAN: Mulai tahun depan, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu akan membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras, manakala sekolah tidak menghadapi masalah kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran.

"Langkah mengehadkan subjek itu turut memanfaatkan ibu bapa kerana ada yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen berikutan waktu pembelajaran subjek tambahan di sekolah tidak mencukupi," katanya pada sidang akhbar selepas meletakkan batu asas Kompleks Pendidikan Bandar Enstek di sini, semalam.

Sistem persijilan terbuka sekarang tidak mengehadkan jumlah mata pelajaran yang hendak diduduki calon SPM menyebabkan sesetengah pelajar mengambil sehingga 20 subjek. Tahun lalu, 48,000 pelajar atau kira-kira 10 peratus daripada 500,000 calon SPM mengambil lebih 10 subjek.

Muhyiddin berkata, selaras langkah mengehadkan subjek SPM, sistem penggredan peperiksaan itu juga akan diubah untuk memudahkan penilaian dalam penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Perubahan sistem penggredan ini penting supaya jika dapat A, kita mahu tentukan sama ada gred itu A, A+ atau A-. Begitu juga jika B, sama ada B, B+ atau B-. Ini supaya dalam soal mendapat biasiswa, pelajar dinilai berdasarkan bilangan subjek diambil dan gred diperoleh," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, sistem penggredan baru itu turut meliputi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun depan. Sistem itu sudah dilaksanakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Sistem ini akan menjadikan keputusan peperiksaan lebih terperinci. Sebagai contoh di peringkat UPSR, kira-kira 48,000 murid mendapat A dalam semua subjek. Jadi dengan sistem baru, lebih mudah untuk pemilihan murid memasuki sekolah berasrama penuh," katanya.

Alimuddin berkata, sistem penggredan itu masih dikaji untuk diperhalusi, tetapi kementerian tidak menghadapi masalah untuk melakukannya kerana hanya memerlukan sedikit penyusunan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya yang membincangkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) kelmarin, mahu usaha diperhebatkan untuk meningkatkan mutu pendidikan di luar bandar.

Usaha akan dilakukan dalam Rancangan Malaysia (RMK) Ke-10 untuk memperbaiki kemudahan prasarana di luar bandar serta menghantar guru terlatih dan berkelayakan, terutama bagi subjek bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"Ini penting untuk merapatkan jurang pencapaian pendidikan antara bandar dan luar bandar serta antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

"Walaupun jurang itu tidak terlalu jauh, ada perbezaan ketara antara bandar dengan luar bandar. Ini dapat dilihat dari segi keputusan peperiksaan," katanya yang sebelum itu melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan Bandar Enstek.

Antara komponen utama kompleks pendidikan berharga kira-kira RM1.3 bilion itu ialah Institut Aminuddin Baki, Kolej Tunku Kursiah, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Fasa pertama dijangka siap akhir tahun depan, manakala fasa kedua dilaksanakan dalam RMK-10. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Petikan dari sumber Berita Harian Online


Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya disahut oleh pelbagai reaksi daripada pelbagai latar berlakang dan profil masyarakat yang berbeza. Ada yang menyatakan sokongan terhadap isu tersebut dan ada pula yang melaungkan dasar anti-kerajaan. Malah, ada juga yang ingin mengambil sikap tunggu dan lihat. Namun, sejauh mana keberkesanan agenda ini adalah bergantung terhadap situasi yang dialami oleh ahli akademia yang menanggung bebanan dan tanggungjawab terhadap dukungan institusi pendidikan negara.

Soalnya, adakah relevan jika dihadkan subjek yang boleh diambil oleh para pelajar di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)? Sebenarnya, terdapat konotasi yang berbeza dalam hujah ini.

Sebelum saya pergi lebih ke hadapan, bagi pandangan kaca mata saya sendiri, institusi persekolahan di Malaysia terbahagi kepada tiga sektor:

i. Status sekolah premier dan seangkatan dengannya

ii. Status sekolah berasrama penuh dan seantero dengannya

iii. Status sekolah harian dan segenap dengannya

Oleh itu, di sini terdapat beberapa percanggahan dari aspek pengambilan subjek. Seperti sedia maklum, kebanyakan sekolah-sekolah yang berstatus seperti nobor ii mempunyai bilangan subjek yang melebihi dari 10 subjek disebabkan implementasi aliran yang mereka dalami. Ditambah lagi dengan subjek teras yang 'mewajibkan' para pelajar untuk mengambilnya, maka ini sudah tentu menyebabkan bilangan subjek yang perlu mereka ambil terarah melebih jumlah kuantiti yang ditetapkan oleh menteri berkaitan.

Pelajar yang ingin mengambil tambahan subjek bagi menghadapi peperiksaan SPM adalah pelajar yang sudah semestinya tahu kemampuan diri mereka dan mereka ini juga sebenarnya mempunyai jadual hidup seorang pelajar yang cemerlang. Malah, kadar bayaran yuran peperiksaan bagi setiap subjek yang diambil adalah menjadi tanggungan sendiri bagi pelajar berkenaan. Jadi, setiap subjek yang diambil dalam peperiksaan memerlukan modal untuk menjelaskan bayaran yuran berkaitan.

Pengambilan tambahan subjek peperiksaan sebenarnya mewujudkan sindrom atau keadaan variasi dalam produk yang bakal diperoleh oleh pelajar berkenaan kelak. Situasi ini dapat diperhatikan melalui nilai kritikal subjek yang diambil oleh pelajar tersebut. Misalnya, jika pelajar tersebut merupakan seorang pelajar aliran Sains Tulen, tidak salah untuknya mengambil subjek Prinsip Perakaunan bagi memudahkannya memilih cabang pengkhususan pembelajaran di masa muka disebabkan mempunyai pilihan yang lebih terbuka berbanding pelajar yang mengambil subjek teras dan elektif yang hanya ditawarkan dalam ruang lingkup aliran mereka saja.

Selain itu juga, ia juga menyumbang ke arah pembentukan insan yang ingin berusaha lebih gigih untuk mencapai tahap yang tertinggi dalam pembelajaran. Ini secara tidak langsung memberikan impak yang positif di mana pelajar berkenaan akan menggunakan segala ruang masa yang ada dengan sebaik mungkin dalam membahagikan waktu belajarnya terhadap kehidupannya seharian dan melahirkan insan yang kompetitif dan berdaya saing di masa akan datang.

Namun, ada benarnya jika diteliti semula isu ini. Kebanyakan mereka yang mengambil tambahan subjek dalam peperiksaan adalah merupakan subjek yang sebenarnya tidak mempunyai 'kualiti' atau pengiktirafan yang boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi yang sememangnya tidak berkaitan langsung dengan aspek pengkhususan pengajian mereka kelak. Adakah status subjek berkenaan benar-benar memberi tambah nilai terhadap pelajar tersebut ketika melanjutkan pengajiannya di status yang lebih tinggi?

Seterusnya, kehidupan pelajar berkenaan sudah pastinya akan membantutkan pembentukan kehidupan yang lebih sihat dari aspek jasmani, emosi dan rohani mereka sendiri. Kebanyakan mereka yang berada dalam situasi sebegini, sering mengurangkan kegiatan-kegiatan yang sebenarnya menyumbang ke arah kebaikan hidup mereka seperti beriadah di waktu petang, pergaulan mesra bersama ahli keluarga dan kekangan waktu tidur yang digadaikan demi mentelaah akademik. Semua ini akan menjuruskan pelajar tersebut ke kancah ketidak stabilan kehidupan yang bakal menyaksikan mereka menghidap ciri-ciri yang boleh membawa mereka ke arah kemudaratan seperti mereng.

Pengkhususan untuk menghadkan pengambilan subjek mampu memberikan para guru dan pihak pentadbiran sekolah masa yang mencukupi untuk mendedikasikan diri mereka terhadap subjek-subjek tersebut. Dan sudah semestinya, para guru mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam mengajar anak muridnya dengan percaturan masa yang terhad dalam seminggu kalendar harian akademik. Ini secara langsung mampu memapankan lagi keupayaan peningkatan subjek-subjek yang sebelum ini berada pada tahap yang sederhana ke paras akademik yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Begitulah serba sedikit pro dan kontra yang mampu saya berikan di sudut pandangan dan perspektif pemikiran saya. Sesungguhnya, nukilan pada kali ini membuka ruang untuk rakan-rakan sekalian berdiskusi secara rasional mengenai isu ini. Adakah ianya membawa peningkatan prestasi akademik para pelajar ataupun sebaliknya, jawapannya hanya terletak pada pelajar itu sendiri. Sekiranya mereka membulatkan nekad untuk maju dan berjaya, tiada apa yang mampu menghalangnya untuk berjaya melainkan Qada' dan Qadar-Nya. Renung-renungkan sejenak...

1 comments:

Unknown said...

Bagi akulah, kerajaan sebenarnya tak ada hak nak halang pelajar nak ambil berapa bilangan subjek untuk SPM nanti...

Biarlah calon tue buat keputusan berapa bilangan subjek yang dia rasa mampu untuk ambil...
Namun, peringatan kepada calon juga...

Kalau nak ambil tambahan subjek, biarlah subjek tue berkualiti...
Nie tak, ambil Pendidikan Seni sedangkan belajar dalam aliran Sains Tulen...

Bukan apa, kalau setakat nak tambah bilangan A saja tanpa adanya pemberian kualiti kepada calon terhadap alirannya, baik difokuskan lebih untuk subjek yang telah menjadi teras dalam aliran calon...

Bukannya menokok bilangan subjek...

Renung-renungkan...