Thursday, June 11, 2009

6 Peristiwa Sayidina Umar al-Khattab

Peristiwa 1:
Beliau sebagai Khalifah meninjau keadaan rakyat secara senyap pada malam hari. Di suatu pondok, beliau terdengar kanak-kanak menangis menunggu ibunya yang sedang menjerang sesuatu (sebenarnya beberapa ketul batu di dalam belanga). Atas sebab faktor kemiskinan, si ibu melakukan perkara tersebut agar anak-anaknya yang lapar itu penat menunggu dan terlelap. Mengetahui keadaan itu, Sayidina Umar sendiri memikul guni gandum, lalu meletakkan di pintu rumah ibu tunggal itu.

Peristiwa 2:
Peristiwa beliau dan temannya sedang meronda lalu terdengar seorang anak perempuan memprotes ibunya yang berhajat untuk mencampurkan air ke dalam susu jualan mereka.

"Ibu, kita tidak boleh mencampurkan air bersama susu yang akan dijual (supaya menjadi banyak) kerana dilarang oleh Khalifah Umar". Kata ibunya, "Khalifah Umar tidak berada di sini dan beliau tidak akan tahu mengenai perkara ini!".

Sahut anak perempuannya, "Kalaupun Umar tidak berada di sini tetapi Tuhan Umar Maha Melihat, Maha Tahu!"Lalu si ibu tidak jadi meneruskan hajatnya dan akur terhadap teguran anaknya itu. Di atas keyakinan dan kejujuran anak gadis itu, beliau telah menjadikan gadis itu sebagai menantunya.

Peristiwa 3:
Khalifah Umar berjumpa dengan penjaga kambing lalu menawarkannya untuk membeli seekor kambing. Lalu dijawab budak itu bahawa kembing tersebut tidak boleh dijual kerana tidak beramanah menjual kambing tuannya tanpa diminta izin terlebih dahulu.

Tambahnya, perkara ini dilarang oleh Allah swt. Lalu, menitis air mata Umar kerana bangga di atas ketulusan hati dan kejujuran budak miskin itu, sedangkan budak itu sendiri tidak kenal kepada Khalifah Umar!

Peristiwa 4:
Umar baring dan tidur di dalam buaian di bawah pohon kurma selepas sehari suntuk menjalankan pentadbiran negara. Peristiwa ini dilihat oleh Panglima Rom Timur ketika kembali selepas berunding dengan Umar sebelum itu. Khalifah Umar tidur tanpa pengiring, tanpa pengawal. Kata Kaisar Imbraatur, Emperor Rom, "Kalau begitulah sikap dan perangai Khalifah Islam, suatu hari nanti pasti mereka akan sampai ke singgah sanaku!".

Peristiwa 5:
Umar mendapat baju rampasan perang sebanyak 2 helai sedangkan orang lain cuma mendapat sehelai, lalu mereka meminta penjelasan daripada Umar.

Dalam keadaan serba salah itu, Ibnu Umar (Abdullah bin Umar r.a) cuba menyelamatkan keadaan dengan menerangkan bahawa baju kedua itu adalah kepunyaan beliau yang dihadiahkan kepada bapanya kerana terlalu besar buat beliau, sedangkan kepunyaan bapanya agak kecil. Dengan penjelasan itu, barulah sahabat berpuas hati.

Peristiwa 6:
Umar masuk ke dalam rumah seorang penduduk melalui tingkap bagi mengintip lalu menangkap lelaki yang sedang minum arak.

Sayidina Umar hendak menjatuhkan hukuman lalu lelaki itu membela diri, "Saya melakukan satu kesalahan iaitu meminum minuman haram di dalam rumah saya secara tersembunyi!Sedangkan Umar (Khalifah) melakukan tiga kesalahan dalam menjalankan tugas; masuk secara haram (melalui tingkap), mengintip seorang muslim dan menceroboh tanpa izin."

Lalu Sayidina Umar tidak jadi menghukum lelaki tersebut kerana dianggap menzalimi lelaki itu!
Komentar penulis: Pada ketika ini, masih adakah lagi pemimpin seperti yang dinyatakan dalam situasi di atas? Renung-renungkan sejenak...

2 comments:

mungkin ade
tapi tak penah nampak

Unknown said...

>Tuah Pengembara: Insya Allah, memang ada tapi sekarang nie sangat susah nak melihat individu-individu yang sebegini rupa...

Moga-moga diketemukan kita dengan orang yang sebegini rupa...