Sunday, June 21, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 21)

“Kenapa ni, abang? Macam ada kegusaran saja yang cuba abang bendungkan daripada pengetahuan Lisa,” sampuk Lisa setelah melihatkan suaminya itu seakan-akan ingin saja mematikan pertanyaan yang ingin diajukan terhadapnya.

“Tak ada apa-apalah,” balas ringkas Amar sambil menundukkan penglihatannya ke arah lantai marmar rumahnya.

“Abang, Lisa sentiasa ada di sisi abang. Walaupun abang ditakdirkan sebegini rupa oleh-Nya, Lisa tetap dengan pegangan Lisa. Lisa tak akan sekali-kali mensia-siakan kehidupan abang. Abang adalah segala-galanya bagi Lisa dan Amir,” panjang lebar huraian yang diberikan oleh Lisa meskipun dia tidak tahu duduk sebenar apa yang ingin diluahkan oleh suaminya itu.

“Ya Allah, jika ini adalah ujian daripada Kau, maka aku redha menghadapinya. Kau perkuatkanlah semangat dan hatiku dalam mengharungi detik-detik sukar sebegini. Kau berikanlah petunjuk dan pertolongan kepada kami sekeluarga dalam menempuh onak duri perjalanan hidup yang telah Kau ciptakan ini,” terdetik di hati Lisa sementara menunggu maklum balas suara suaminya.

“Bukan tu yang abang ingin maksudkan. Abang bimbang dengan keadaan keluarga kita ni. Dulu, abanglah yang menjadi nadi kelangsungan nafkah hidup keluarga kita. Tapi, sekarang ni, abang dah tak mampu lagi meneruskan…,” tergantung baris akhir ayat yang ingin diucapkan oleh Amar. Dirinya seolah-olah cuba menahan sebak yang hadir secara tidak semena-mena dalam dirinya. Menahan dari air matanya berguguran di hadapan seorang insan tabah di sisinya. Seorang isteri yang pernah didera dan dipukul olehnya kerana dirinya yang tidak pernah mengerti perjalanan hidup yang dicaturkan oleh Allah. Suka duka sentiasa bersamanya di kala perniagaannya diibaratkan seperti sebuah roda. Namun, tidak pernah sekalipun Lisa memberinya erti susah dan perit ke dalam perisa hidupnya, apatah lagi sekelumit.

“Abang, abang. Lisa ingatkan apalah sangat yang merunsingkan abang tu. Macam nilah, abang. Lisa sendiri yang akan membantu abang dalam mencari nafkah. Lisa boleh jual kuih-muih dan pelbagai aneka jenis lauk dan makanan. Lisa berniaga. Abang pula, bolehlah jadi akauntan Lisa. Boleh? OK tak idea Lisa ni?” Lisa memandang tepat ke dalam mata Amar. Direnungnya seolah-olah inginkan jawapan ‘ya’ daripada suaminya. Amar akui, hanya itu saja langkah terbaik yang ada baginya ketika ini.


Bersambung...

*Sekuel cerpan ini boleh dilayari di laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

1 comments:

mohad said...

bagus blog ni... padat..