Thursday, June 25, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 24)

Aku termenung jauh di jendela bilikku. Mata aku mengerling sebentar ke arah jam loceng yang terletak di atas meja belajarku. Betul-betul bersebelah dengan jendela. Tempat aku sedang berdiri kini. 3 petang. Aku kembali melepaskan pandanganku melalui ruang jendela. Hatiku kini tiba-tiba gelisah pada hari itu. Tidak tahu mengapa. Resah menyelubungi seluruh ruang hati dan mindaku.

“Ya Allah, jika hati ini resah kerana panah cinta syaitan terhadap Arina Ain Syairah, maka tolonglah hamba-Mu ini untuk melupakannya. Aku tidak mahu menjadi hamba yang melakukan zina terhadap-Mu,” rintih di hati kecilku.

Arina Ain Syairah Muhammad. Cantik rupawan orangnya, seindah namanya jua. Ain merupakan seorang pelajar yang bijak di sekolah. Masakan dia memperoleh gelaran sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan dan Pelajar Harapan untuk tahun ini. Ain memang digilai ramai jejaka di sekolahku sehinggakan Ketua Pengawas sendiri sudah menanamkan azamnya untuk memiliki Ain. Ain dan aku belajar di dalam kelas yang sama. Tingkatan 3 Rajawali. Aku akui sememangnya Ain terlalu cantik di mataku. Dengan tudung labuhnya serta berkaca mata, hati siapa tidak bertaut apabila melihatnya saban hari. Kulitnya putih bak warna salji.

“Ahh…” Keluhan kecil aku lepaskan. Terasa ringan sedikit bebanan yang ditanggung oleh diriku selama ini. Mataku masih lagi menghunus ke luar. Suasana petang itu agak mendung. Memberi petanda bahawa hujan akan menyimbah bumi Ilahi tidak lama lagi. Mungkin. Aku masih lagi melayani perasaan ketika itu. Melayan hati terhadap gerangan gadis yang secara tiba-tiba hinggap di kotak mindaku serta meninggalkan cebisan kasih di hatiku.


Bersambung...

*Sekuel cerpan ini boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: