Saturday, June 27, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 28)

“Amir, Amir. Ni mama datang ni. Abahpun ada sekali. Amir.”

Aku membuka mataku. Payah. Aduh. Silau. Terkebil-kebil mata aku tatkala membukanya. Kornea mataku mula menyerap pancaran cahaya yang memasuki dari anak mata hitamku. Fokus mataku sedang dalam proses untuk menstabilkan penerimaan cahayanya. Objek pertama yang aku pandang ketika itu adalah wajah mama dan diikuti wajah abah. Aku bingkas bangun tetapi dihalang oleh mama.

“Amir, rehat dulu. Amir belum pulih lagi. Jangan banyak bergerak,” ujar mama lagi sambil membetulkan posisi rehatku ketika itu. Abah hanya memandang. Namun, aku lihat, abah seolah-olah sedang memikirkan sesuatu ketika itu. Berkerut dahinya.

“Mama, Amir di mana sekarang ni? Kenapa Amir ada di sini?” bertalu-talu soalku terhadap mama yang diam, tetapi mempamerkan seukir senyuman di bibirnya.

“Amir, Amir pengsan tadi. Mama dan abah yang hantar Amir ke hospital,” balas mama. Wajah mama ketika itu cukup tenang, namun abah tidak. Masih lagi menunjukkan lipatan di dahinya. Seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Amir rehatlah. Mama dan abah balik dulu ya. Insya Allah, esok mama datang jenguk Amir ya, sayang,” ucap mama memecahkan kesunyian yang hadir di antaranya sebentar tadi.

“OK. Janji tau esok mama datang.” Aku menggenggam erat jari-jari mama. Meminta kepastian daripadanya. Mama mengangguk. Masih terukir lagi senyuman di wajahnya. Tapi, mengapa air mata mama mula bertubir di ruangnya? Aku tidak sedap hati ketika itu. Mahu saja ditanya kepada mama namun, aku pendamkan saja niatku itu.

“Mama balik dulu ya. Assalamualaikum,” kata mama sambil menolak kerusi roda abah keluar dari wad. Aku memerhatikan kelibat tubuh mama dan abah sehingga hilang dari pandangan ekor mataku. Di hati, aku mula berfikir. Berfikir yang bukan-bukan.

“Astaghfirullah, apa yang aku fikirkan ni?” getus hatiku. Menolak setidak-tidaknya imaginasi dan gambaran yang hadir menjengah mindaku ketika itu. Bersangka baik terhadap-Nya. Bukannya memikirkan perkara-perkara yang tidak baik.

Aku bersandar di birai katil sambil memandang ke siling. Hati aku masih lagi dipaut erat mengenai pelbagai persoalan yang melanda sejak tadi lagi. Namun, tiada jawapan yang hadir memberikan ritmanya. Hampa. Sedang aku melayan perasaan yang ketika itu berbaur dengan pelbagai rasa, akhirnya, aku terlena…


Bersambung...

*Sekuel cerpan ini boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: