Friday, June 19, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 14)

“Lisa, Amir mana? Amir tak datang sekali dengan Lisa?” ujar Amar yang duduk membujur di atas katil. Matanya memerhatikan wajah Lisa, isterinya yang sedang menyuapkan bubur nasi ke mulutnya.

“Tak, abang. Hari ni Amir ada kelas tambahan. Periksa PMR dah nak dekat,” jawab Lisa sambil menyudukan bubur ke mulut abah.

“Lisa datang sini naik apa? Teksi? Bas?” sambung Amar lagi setelah mengunyah perlahan-lahan bubur yang disuapkan Lisa. Direnungnya Lisa erat. Bertudung labuh rona merah hati. Berjubah. Sama seperti warna kain tudungnya. Berseluar hitam. Ditatapnya pula wajah Lisa. Berkulit cerah, dagu runcing, berlesung pipi di kanannya. Amar sedar isterinya sudah begitu menawan meskipun tidak mengenakan peralatan solek di wajahnya. Begitulah Lisa yang dikenalinya dulu semasa diijab kabulkan oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Yang Amar tahu, Lisa seorang lepasan graduan ijazah sarjana muda jurusan Kejuruteraan Elektrik Elektronik semasa pernikahannya dahulu. Namun, kini, Lisa lebih selesa menjadi seorang suri rumah sepenuh masa setelah menjadi miliknya. Itu kehendak Lisa sendiri yang tidak mahu memperjudikan urusan rumahtangganya. Sungguh kagum melihatkan rencana prinsip hidup Lisa.

“Abang, abang. Jauh menungan abang tu. Kenapa ni? Tak sedap Lisa masak bubur ni?” suara lunak Lisa memecahkan lamunan Amar terhadap Lisa.

“Err, tak adalah. Sedap Lisa masak ni. Cuma, abang…,” Amar terhenti ayatnya.

“Cuma apa, abang? Lisa pakai baju terkenakah? Tudung ni tak kena warnanya dengan Lisa?” ujar Lisa sedikit resah tatkala melihatkan renungan Amar yang memandangnya dari atas hingga ke bawah mengenai dirinya. Duduknya kini seakan tidak selesa.

“Apa yang tak kena dengan aku? Aku salah pakai tudung? Atau aku salah pilih warna?” monolog Lisa sendirian tatkala memerhatikan dirinya.

“Lisa nampak cantik hari ni. Menawan. Sesuai dengan kulit warna Lisa.”

“Ala, abang ni. Buat Lisa saspen aje. Janganlah buat Lisa macam ni.” Tamparan Lisa hinggap di lengan kiriku.

“Aduh, sakit. Lisa, Lisa…” Tiba-tiba Amar mengadu kesakitan. Memegang dadanya seolah-olah sakit menyerangnya. Suaranya tiba-tiba kedengaran lemah dihujung ayatnya.

“Abang, kenapa ni? Abang, maafkan Lisa. Lisa tak sengaja tadi. Abang. Abang!” Lisa mula mengelabah melihatkan kondisi Amar. Lisa bingkas bangun lalu mengurut-urut dada Amar.


Bersambung...

*Sekuel cerpan ini boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: