Saturday, June 27, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 29)

Hati Lisa bungkam. Mendengarkan kata-kata Dr. Muhammad Syamsul Mahmud yang merawat Amir, sedikit sebanyak meredakan kerisauan yang hinggap melata di setiap penjuru ruang hatinya. Amir tidak menghidap apa-apa penyakit serius. Cuma, keletihan dan perlukan banyak berehat. Masih lagi terngiang-ngiang di ruang gema telinganya akan patah kata Dr. Syamsul tadi. Diputarkan berkali-kali. Hatinya tidak pernah lekang dengan perkataan syukur kepada-Nya. Dia tidak mahu kehilangan permata hati yang menghias dan mengisi rona hidupnya. Waima Amir hanyalah anak saudaranya. Anak saudara yang dibela olehnya setelah pemergian abang iparnya 14 tahun dahulu. Tragedi yang tidak bisa diungkapnya lagi dengan kata-kata mahupun akal. Abang iparnya, Amirul Amar Zainuddin Abdullah syahid ketika berada di wilayah bergolak di Afrika Selatan atas misi pengaman dunia. Amar juga turut menyertai misi tersebut. Ibu kepada Amir, Amiratul Husna Zainal, menyahut panggilan Ilahi sewaktu melahirkan Amir. Jadi, hanya dia dan Amar saja tempat Amir bergantung kasih.

“Lisa, Lisa. Lisa,” panggil Amar yang sedari tadi melihatkan Lisa termenung. Sehinggakan dirinya sudah berada di hadapannya masih lagi tidak diendahkan. Amar menggoncang perlahan bahu kanan Lisa.

“Lisa.” Lisa terkejut. Kembali menyorot ke dunia realitinya semula. Mencari-cari nada suara yang memanggilnya. Matanya bertentang dengan mata Amar.

“Ya , abang. Abang nak air? Lisa buatkan ya,” ujar Lisa.

“Tak apalah, Lisa. Abang belum haus lagi. Lisa menung apa tu? Sampaikan abang panggilpun Lisa buat tak endah aje,” ucap Amar sambil meramas jari-jemari Lisa yang runcing itu. Lisa kaget. Terperangkap lagi dengan situasi yang tidak mahu lagi diurainya kini.

“Err, tak ada apa-apalah. Abang, Lisa masuk bilik dulu ya. Nak berehat,” ujar Lisa dengan harapan dirinya dapat melarikan diri daripada soalan cepumas suaminya tadi.

“Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini,” monolog hatinya.

“OK, Lisa pergilah masuk dulu. Nanti abang menyusul ya,” balas lembut Amar terhadap Lisa. Lisa tersenyum girang tatkala mendengarkan jawapan yang diberikan oleh suaminya. Lisa bangun lalu menghadiahkan sekuntum ciuman di pipi kanan suaminya sebelum beredar masuk ke kamar tidur yang terletak di aras bawah. Amar memandang Lisa hingga tubuh Lisa hilang daripada matanya.

“Lisa, abang dah nekad. Abang takkan biarkan Lisa terus-terusan susah bersendirian lagi. Tak sanggup abang lihat air mata Lisa gugur lagi,” bisik Amar di ruang hatinya.

“Ya, esok akan abang mulakan segala-galanya. Itu janji abang terhadap Lisa dan Amir.” Amar nekad dengan keputusannya itu.


Bersambung...

*Sekuel cerpan ini boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: