Monday, June 1, 2009

Cerpen: Gerimis Memori (Bahagian Akhir)

Sambungan dari Cerpen: Gerimis Memori (Bahagian 2)

Tanggal 13 Mac 2006, keputusan peperiksaan SPM 2005 pun diumumkan. Aku sangka panas hingga ke petang, namun hujan di tengah hari. Segala usaha dan keringat yang kucurahkan selama ini belum lagi menampakkan impak yang kuharapkan. Aku hanya memperoleh 5A 5B sahaja. Aku agak terkilan dengan keputusan yang aku peroleh berbanding dengan semua temanku yang lain. Mereka semua berjaya dengan cemerlang sekali. Ketika itu, hatiku bagaikan terhempas di batu. Berkecai. Hancur sama sekali. Namun, atas dasar keimananku terhadap-Nya, aku menerima segala qada’ dan qadar-Nya. Ketentuan dan ketetapan Ilahi. Dengan hati yang agak punah, aku pulang ke rumahku. Dalam perjalanan pulang, otakku ligat memikirkan bagaimana reaksi bondaku terhadapku. Kecewa? Sedih? Marah? Entahlah. Akupun tak sanggup untuk meneka apa yang bakal terjadi terhadapku pada masa hadapan.

* * * * *

Aku menjejakkan kakiku di bumi paling selatan tanah air, Johor. Kagum. Indah. Itulah patah perkataan yang terpacul keluar dari benak hatiku. Ayahanda dan pakcikku datang menemaniku untuk sesi pendaftaran bagi sesi 2006/2007. Aku sebenarnya tidak menduga akan mendapat tawaran memasuki kolej matrikulasi bersandarkan pada keputusan SPM aku tempoh hari. Yalah. Mana taknya, di peringkat matrikulasi ini, mesti ramai yang hebat-hebat belaka akan berada di sini. Rasa rendah diri yang teramat sangat hadir menggamit di seluruh jiwaku. Hendak atau tak, terpaksa aku gagahkan diri untuk menempuh alam kehidupan yang serba baru ini…

Aku tersedar dari lamunanku. Sang suria indah semakin meninggi di ufuk timur. Tak ada apa-apa perubahan yang ketara berlaku. Semuanya seperti tadi. Kini, segala pengalaman yang kualami di Kolej Matrikulasi Johor akan aku sematkan di jiwaku sebagai sebahagian daripada lipatan sejarah yang tak mungkin akan luput dari aqliku. Insya Allah…

Aku mundar-mandir di sekitar halaman beranda mahligai ayahbondaku. Fikiranku masih lagi menerawang memikirkan sesuatu. Kenangan silam, peristiwa kini dan arah tujuku di masa hadapan kelak berlegar-legar, menusuk satu demi satu menerjah masuk jendela akalku. Aku mendongak ke angkasa. Awan larat hitam mula berarakan memasuki ruang langit. Langit yang sebelum ini cerah bersulamkan sang mentari pagi, tiba-tiba berubah. Awan hitam tadi benar-benar menoreh ketenangan pagi ini. Beberapa jurus kemudian, rintik-rintik gerimis mula membasahi bumi ciptaan Yang Maha Esa ini. Aku menjarakkan diriku jauh dari hujan gerimis tersebut ke tempat yang selamat. Namun, aku masih lagi berada di halaman rumah. Memerhatikan rintik hujan yang meluru jatuh ke permukaan tanah. Aku masih lagi terpaku di situ. Aku memikirkan segala kejadian dan perkara yang terjadi di hadapan kaca mataku. Subhanallah. Maha Suci Allah yang menjadikan alam ciptaan-Nya ini dengan sungguh rapi dan sempurna sekali. Syukur, alhamdulillah. Aku masih lagi dihidupkan oleh-Nya untuk meneruskan perjuangan hidupku yang kian jauh lagi untuk kugapai. Syukur juga kerana aku dilahirkan dalam keadaan fizikal yang cukup sempurna, nikmat Iman dan Islam itu sendiri. Aku dapat merasainya. Syukur juga kerana aku dilahirkan di tanah tumpahnya darahku ini, yang harmoni, aman damai dan sentosa ini. Syukur atas segala-galanya.

Hmm… Aku menghela nafasku panjang-panjang. Pawana sejuk dan dingin yang berpuput sama menyerang ke arahku. Menggigit hingga ke tulang hitamku. Sejuk. Tapi, aku masih lagi tidak berganjak pergi. Masih lagi berdiri di situ. Aku tersenyum. Segala memori dan kenangan yang aku redah selama ini akanku jadikan sebagai pengalaman yang paling berharga dan bermakna buat diriku. Pengalaman inilah yang membentuk perwatakan diriku. Dari seorang kanak-kanak kecil yang tidak mengenal erti susah dan cabaran, akhirnya menjadi seorang insan yang berdiri utuh di atas platform dunia sebenar. Akanku sematkan segala memori dan kenangan tersebut walaupun secebis mahupun seurat. Itulah ikrarku, nekadku…

Kepada semua warga 5 Einstein 2005, khasnya, dan individu-individu tertentu yang mengenali diriku ini, amnya, aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas segala pertolongan dan bantuan daripada kalian. Segala salah khilafku terhadap kalian harap dimaafi. Kalian semua memang best. Kepada cikgu-cikgu pula, terima kasih atas segala sumbangan yang cikgu-cikgu berikan. Tanpa bantuan dan dorongan daripada cikgu, tak mungkin dapat saya kecapi semua ini. Penghargaan ini khasnya ditujukan kepada Pn. Rabiah bt. Jawa, Pn. Zunainun bt. Che Pa, Pn. Wong Siew Hium, Pn. Siti Zawiyah bt. Basri, Pn. Nor Hafidah bt. Abu Hanit, En. Azuan b. Abdul Aziz dan semua guru yang mengenali diri saya ini. Hanya ini sahaja yang termampu untuk saya laksanakan. Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas segala jasa dan pengorbanan kalian. Saya doakan agar cikgu semua berjaya di dunia dan juga akhirat kelak. Teruskan usaha kalian demi memajukan anak bangsa dan memartabatkan maruah pendidikan negara di persada dunia.

Puputan pawana semakin bertiup kencang. Membawa hawa dingin yang begitu sejuk sehingga aku mula menggigil. Gerimis yang turun sejak tadi masih lagi membasahi bumi. Aku akhirnya mengambil keputusan untuk masuk. Perut aku sudah mula mengeluarkan bunyi yang kurang enak. Maklumlah, aku belum lagi bersarapan. Aku terus menuju ke dapur. Ketika itu, terdetik di hatiku ke mana pula arah tujuku selepas ini. Ahh!!! Malaslah aku hendak fikir perkara tersebut. Aku berharap agar segala memori yang aku lalui sebelum ini dapat kusematkan di benak fikiranku. Walau apapun yang terjadi, memori dan kenangan ini sahajalah yang merupakan harta yang paling bernilai buatku. Diharapkan aku dapat meneruskan perjalanan hidupku ini dengan begitu mudah sekali dan dibaluti dengan keberkatan serta keredhaan oleh-Nya. Insya Allah…

0 comments: