Thursday, June 4, 2009

Cerpen: Ketentuan Ilahi (Bahagian 5)

Sambungan dari Cerpen: Ketentuan Ilahi (Bahagian 4)


Sebenarnya, begitulah sikap diriku. Aku sentiasa berkorban kepada rakan-rakanku yang lain meskipun aku sendiri berada dalam kesusahan. Aku rela berkorban terhadap teman-teman dan sahabat-sahabatku walaupun kesihatan diriku terabai. Mereka sendiri mengakui sikap ‘gila’ tersebut yang berada dalam diriku. Aku agak kecewa dengan perpisahan tersebut. Hampir berminggu-minggu lamanya untukku kembali berpijak di bumi yang nyata. Tatkala aku sedang berusaha memulihkan semula semangatku, aku terlihat si dia berdampingan dengan seorang jejaka yang aku amat mengenalinya. Amat sangat. Jejaka tersebut adalah kawan baikku sendiri. Walaupun berderau hatiku melihatkan kemesraan mereka, namun tiada apa yang mampu untuk aku lakukan. Hanya mampu memandang mereka dari jauh saja. Ketika itu, hatiku benar-benar berkecai. Terhempas ke batu lagaknya. Bertaburan bersama-sama kenangan yang telah aku bina sekian lamanya.

Sejak peristiwa tempoh hari, aku tidak lagi melihatnya di perkarangan sekolah mahupun di sekitar kawasan penempatanku. Mengikut khabar berita yang aku terima daripada rakannya, dia telah pun berpindah ke Putrajaya kerana mengikut ayahandanya yang bertugas di situ. Meskipun aku terkejut dengan perkhabaran tersebut, tetapi jauh di sudut hatiku, aku benar-benar terkilan dengan tindakannya. Aku memberikan seluruh kesetiaan aku kepadanya, namun kesudahan sebegini yang menimpa diriku. Selama aku dan dia bersama, aku menjaga segala adab dan batas-batas pergaulan sehinggakan hendak berjumpa dengannya, aku sanggup mengajak teman baiknya untuk bersama-sama berjumpa. Kami berjumpa bukannya seperti pasangan-pasangan lain yang longlai dimamah cinta, sebaliknya kami menggunakan masa yang ada untuk mengulang kaji pelajaran dan melaksanakan tanggungjawab kami sebagai Pengawas Pusat Sumber sekolah. Tidak lebih daripada itu. Aku sedar bahawa kami belum sedia untuk membina sebuah bahtera perkahwinan dalam tempoh sebegitu kerana masing-masing mempunyai cita-cita dan impian yang ingin dicapai. Tetapi, tidak aku sangka janji yang telah kami pahatkan selama ini untuk membina ikatan rasmi di antara kami terkubur begitu saja. Tidak tahu di mana silapnya sehingga kami terpaksa membawa haluan kehidupan kami masing-masing.

Aku kembali ke dunia realiti semula. Hujan gerimis yang mula turun membasahi muka bumi sejak tadi semakin lebat. Mencurah-curah. Tempias air hujan berkenaan yang membawaku kembali ke alam fana. Aku menarik nafasku sedalam-dalamnya. Wajah gadis berkenaan kerap bermain di mindaku sejak akhir-akhir ini. Walaupun wajahnya mirip terhadap wajah si dia, namun aku tidak pasti bahawa adakah aku sudah cukup bersedia untuk menerima seorang insan bergelar Hawa di sisiku. Aku pernah mencuba untuk memikatnya, tapi jawapan yang sudah acap kali aku terima. Dia belum bersedia lagi untuk menerima kehadiranku dalam hidupnya. Justeru, aku menghormati keputusannya. Sememangnya aku telah mencuba beberapa kali sebelum ini. Tapi, hatiku masih lagi tidak mampu menerima kehadiran orang lain. Terlalu lara. Ah! Biarlah. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Getus hatiku bergema di setiap ruang diriku. Aku menghabiskan sisa-sisa keluhanku di bistro yang terletak berhampiran dengan pejabat kolej. Aku melangkah pergi menuju pulang ke bilikku setelah hujan agak reda. Aku melangkah kosong melayani perasaanku yang kini menguasai diriku. Kosong…

Bersambung...

0 comments: