Saturday, June 27, 2009

Di Sini Waktu Rehatku Berada...

Hmm, tiada sebarang juadah yang ingin aku gapai dan tercari-cari di kala waktu rehat tengah hari berkunjung tiba. Semestinya, di waktu yang sebegini rupa, habis setiap ceruk ruang kafetaria di FRIM dipenuhi dengan manusia-manusia yang mencari sesuap makanan bagi mengisi perut setelah separuh hari melaksanakan rutin harian mereka. Bukan saja di kafetaria dalam kawasan FRIM saja, malah di luar sekitar kawasan Kepong nie juga tidak ketinggalan menjadi lubuk untuk warga kota mencari rezeki yang bisa memenuhkan perut mereka tatkala itu.

Namun, selama 8 minggu aku betapa diriku di FRIM ini, tidak langsung aku menjamah diriku dengan juadah tengah hari. Hanya beralaskan sarapan sebelum ke tempat kerja saja yang mampu memberikan aku tenaga sehingga usai waktu bekerja kelak. Tiada erti dalam kamus hidup praktikal aku mengenai waktu makan tengah hari. Hanya sarapan dan makan malam saja yang menjadi pengiring setia. Waktu sarapan dan makan malampun begitu lain daripada manusia biasa yang lain. Terlalu awal masanya jika dibandingkan dengan rutin harianku semasa melayari bahtera di kampus.

Aku tidak berselera untuk makan tengah hari di sini. Tiada teman sejantina yang mampu untuk aku gelak ketawa bersama, ke hulu ke hilir di mana-mana jua. Ramainya kaum Hawa di sini sedikit sebanyak membawa aku kembali kepada personaliti aku yang dahulu. Lebih banyak mendiamkan diri dan berfikir. Untuk menghilangkan rasa sunyi itu, di sinilah lokasinya aku datang dan bertemu hampir sepanjang waktu apabila tiba masanya. Tempat di mana aku menunaikan kewajipan aku sebagai hamba-Nya.



Di masjid inilah, aku meyakinkan diri bahawa setiap yang berlaku adalah dugaan dan ujian yang harus aku tempuh. Masakan siapa lagi yang perlu melaluinya jika tidak kita sebagai hamba kepada-Nya. Selama hampir sejam aku menghabiskan masa di sini. Menghabiskan seluruh waktu rehat tengah hari menyerahkan hatiku kepada-Nya. Namun, benar. Aku hanyalah seorang manusia yang dikurniakan fitrah dan naluri manusia. Aku inginkan seseorang teman di sisi, tapi hanya ini saja yang terbaik bagi aku. Benar apa yang diluahkan oleh saudara Mohd Zakiyuddin Mohd Zahari, sahabatku yang mewarkahkan sebuah tulisan di blognya semalam, berkenaan dengan topik rindu jika aku tidak silap. Hanya Dia saja yang akan membalas cinta hamba-Nya terhadap-Nya. Tapi, cinta sesama manusia belum pasti lagi akan menjadi realiti seperti apa yang kita dambakan.



Tidak lama lagi, masjid ini akan kekurangan seorang jemaah yang selalu menjejakkan kakinya di sini. Semoga ramailah anak-anak muda yang mengimarahkan masjid tersebut meskipun ada beberapa orang yang dalam firasat aku merupakan staf di FRIM ini. Waima tidak ada jurang bezanya jika aku juga boleh diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada mereka juga.

Semoga diri ini istiqamah dalam mengimarahkan masjid-Mu, Ya Allah.

0 comments: