Friday, July 3, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 32)

“Malik, terima kasih kerana kau sanggup lagi menerima aku walaupun aku dalam keadaan macam ni.”

“Janganlah macam tu, Amar. Kitakan rakan kongsi. Tanpa kau, takkan hidupnya syarikat ni. Kau dah banyak tolong aku dalam mengembangkan perniagaan aku ni,”ujar Malik, sahabat karib Amar, merangkap pengurusnya.

“Dah lama aku menunggu detik ni. Akhirnya, dimakbulkan oleh Allah jua,” sambung Malik lagi sambil menghirup air kopi yang tersedia di hadapannya. Ruang tamu rumah Amar ditatapnya. Tidak berubah susun atur perabotnya sejak kali terakhir dia datang menziarahi sahabatnya itu.

“Dah lama kau tunggu detik ni? Apa maksud kau, Malik?” soal Amar dengan renungan kehairanan. Pelik baginya status kenyataan tersebut diluahkan oleh Malik. Seperti Malik menyimpan sesuatu daripada pengetahuannya.

“Hmm… Macam ni, Amar. Selepas insiden yang meragut keupayaan kau tempoh hari, aku sanggup tunggu kau kembali ke pangkuan syarikat ni. Posisi aku di syarikat tu langsung aku tak tawarkan kepada sesiapa. Aku biarkan ianya kosong sehingga aku yakin suatu hari nanti kau akan kembali menjawat jawatan tu. Aku tak rela membiarkan orang lain duduk di posisi tu. Hanya kau saja yang aku percaya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan Kewangan syarikat ni,” ulas panjang lebar Malik sambil merenung tepat ke arah Amar. Amar seakan-akan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Dia tidakpun menduga akan kembali ke posisi asalnya di syarikat itu. Yang hanya dipinta olehnya adalah pekerjaan sebagai seorang kerani pejabat biasa, sesuai dengan dirinya. Namun, tidak sama sekali dia menduga akan sejauh ini kenyataan realiti yang diterimanya. Air matanya mulai bergenang di sebalik kelopak matanya.

“Terima kasih, Malik. Terima kasih sangat-sangat. Aku tak sangka sampai begini sekali kau…” Terhenti baris kata yang diluahkan oleh Amar. Tidak dapat lagi dibendung air matanya yang tetap juga tumpah walaupun ditahannya dari berguguran. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan kalimah syukur kepada Ilahi.

“Sudahlah tu, Amar. Kau boleh mula bekerja bila-bila masa setelah kau bersedia ya. Kau boleh saja bekerja di rumah kau tanpa perlu kau melangkah hingga ke pejabat. Insya Allah, nanti aku terangkan kepada kau segala-galanya kelak,” ucap Malik seraya menepuk-nepuk bahu Amar.

“Ya Allah, terima kasih di atas nikmat ini. Sesungguhnya, nikmat pemberian Kau ini sungguh bermakna sekali buat aku dan keluarga aku,” getus hati kecilnya yang tidak henti-henti melafazkan kata-kata syukur terhadap Yang Maha Esa.


Bersambung...

*Sekuel cerpan ini boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: