Friday, July 24, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 40)

“Mama, Amir… Amir… Amir minta maaf.”

Mama terkedu dengan kenyataan yang aku luahkan sebentar tadi. Tersentak seketika.

“Amir, apa yang Amir cakap ni? Dah, dah. Amir tak buat salah dekat mama pun.” Jari-jari mama mengurai dan mengerlus rambutku yang terbang ditiupkan bayu pada waktu petang itu.

“Amir dah mengguris hati dan perasaan mama semalam. Amir minta maaf,” tutur Amir seraya memeluk mama dengan erat. Tangis dan esakan kecil mula kedengaran di ruang dapur.

“Sudahlah tu, Amir. Mama tak ambil hatipun. Mama dahpun maafkan Amir. Yang dah berlalu tu, biarkan ianya pergi ya, sayang.”

“Mama, Amir nak tanya sesuatu boleh? Kalau mama tak keberatanlah nak beritahu Amir.” Lama mama mendiamkan diri. Tangannya masih lagi memegang tanganku. Erat. Matanya merenung jauh ke dalam anak mataku. Seakan mencari kekuatan dan sinar yang mampu untuknya berdepan dengan permata hatinya yang sudah menjangkau usia belasan tahun.

“Insya Allah, kalau mama dapat jawab, mama beritahu Amir. Apa soalannya?” getus mama setelah suasana sepi merajai untuk beberapa ketika. Aku menghela nafasku panjang. Mencari di manakah permulaan yang harus aku beri. Tidak mahu disebabkan isu yang bakal diutarakannya menyebabkan hati insan yang disayanginya terguris.

“Mama, siapa sebenarnya ayah dan ibu Amir? Di mana mereka sekarang? Mengapa mereka tak nak menjaga Amir?” Bertalu-talu persoalan yang menerjah ke ruang telinga mama ketika itu. Terkejut dan tergamam sebentar. Namun, dia sudah bersedia dengan soalan sebegitu sejak peristiwa tempoh hari. Soalan-soalan sebegini pastinya bakal diutarakan terhadapnya. Tidak sekarang, mungkin akan diajukan pada masa akan datang. Hanya masa saja yang menentukan segala-galanya.

“Amir, mama rasa dah tiba masanya mama khabarkan perkara ni kepada Amir. Tapi, Amir kena janji dengan mama dulu. Selepas apa yang Amir dengar ni, mama harap Amir tabahkan hati ya. Dan percayalah, hanya Amir saja satu-satunya permata hati mama. Tiada duanya.” Aku mengangguk perlahan tanda setuju dengan apa yang dimeterai oleh mama sebentar tadi. Menunggu setia butir-butir kata yang sememangnya ingin aku dengar daripada bibir mama sendiri.


Bersambung...

*Sekuel cerpan nie boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: