Friday, August 14, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 41)

“Ayah dan ibu Amir dah lama pergi. Mereka meninggal dunia,” sambung mama lagi setelah kekuatan yang dicarinya hadir dari sinar mata Amir. Amir tersentak dengan kenyataan mama. Namun, dikawal jiwanya itu. Ada lagi yang perlu diketahuinya daripada pengetahuan mama.

“Ibu Amir meninggal sewaktu melahirkan Amir. Beberapa tahun kemudian, ayah Amir pula pergi sewaktu misi pengaman tentera di wilayah Afrika Selatan. Ketika itu abahpun turut sama menyertai misi pengaman tu bersama-sama dengan ayah Amir.” Mama terhenti seketika. Dilihatnya Amir. Masih diam membisu menantikan kenyataan seterusnya. Mama masih lagi mengusap jemari Amir yang halus itu.

“Ayah dan abah sebenarnya adalah adik-beradik. Abah adalah adik kepada ayah Amir.” Beberapa butir manik jernih jatuh menimpa tangan Amir. Mama menangis. Amir bingung. Menangis kerana akhirnya realiti kenyataan telahpun dirungkai atau hatinya pilu memikirkan keadaan diri anaknya yang seorang ini. Amir mula dirundum perasaan serba salah.

“Mama, terima kasih ya sebab menjelaskan situasi sebenar kepada Amir. Rasanya, cukuplah apa yang mama perihalkan terhadap persoalan yang Amir tanya tadi. Terima kasih Amir ucapkan kepada mama kerana sanggup menjaga dan membelai Amir dengan kasih sayang. Terima kasih kerana sanggup menerima Amir untuk menjadi sebahagian daripada keluarga mama. Amir benar-benar terhutang budi. Amir, Amir…” Ayat Amir terhenti di situ. Seakan suaranya hilang punca untuk meneruskannya. Air matanya berjurai jatuh membasahi pipinya yang kelihatan cekung.

“Sudahlah Amir. Mama mengerti apa yang Amir rasa. Mama minta maaf sekiranya merahsiakan hal ni daripada Amir untuk suatu tempoh yang lama. Amir tak sampai hati nak khabarkan kepada Amir.” Esakan kecil Amir mula beralun dan bergabung dengan suasana ketika itu.

“Amir nak minta ampun dan maaf daripada mama. Amir dah banyak menyusahkan kehidupan mama dan abah dalam membesarkan Amir. Amir dah banyak buat silap dan dosa terhadap mama dan abah.”

“Amir, Amir. Mama dan abah tak pernahpun anggap kehadiran Amir dalam hidup kami sebagai bebanan. Malah, kami sendiri bersyukur kerana dengan adanya Amir, hidup kami taklah sunyi. Amir adalah segala-galanya bagi mama dan abah. Mama dan abah dah anggap Amir ni macam anak kami sendiri.”

“Mama, nanti, hujung minggu ni kita pergi ziarah kubur ayah dan ibu ya. Amir teringin sangat nak pergi.”

“Insya Allah, nanti mama bincang dengan abah ya.”

“Terima kasih mama.” Aku terus memeluk erat tubuh mama. Akhirnya, segala kekusutan dan persoalan yang dirantai selama ini terungkap sudah. Aku bersyukur kepada-Nya kerana mempunyai insan yang sanggup menjaga aku seperti anak kandung mereka sendiri. Tidak sedikitpun kurangnya kasih sayang yang mereka curahkan kepada aku. Malah, aku ini boleh diibaratkan sebagai ‘menatang minyak yang penuh’. Tidak satupun kekurangan yang wujud hadir dalam kamus hidupku.


Bersambung...

*Sekuel cerpan ini boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: