Thursday, August 20, 2009

Ijazah: Mengaplikasikan Ilmu Atau Sekadar Dalam Genggaman Semata-mata?

Assalamualaikum dan Salam Warkah. Alhamdulillah, akhirnya telah selesai jua sebuah Majlis konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia kali ke 43 pada tarikh 19 Ogos lalu. Ucapan dan kalungan tahniah saya tujukan khas buat para graduan yang telah berjaya memperoleh segulung ijazah dalam genggaman mereka. Pada firasat saya, belum terlambat lagi untuk melontarkan ucapan penghargaan berkenaan kepada kalian semua.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjJ53zHgt8vrHiqicIjl3xW3hxDGOuF_wxaawV9aoNgxkSWByynNCo8oTJnSWZn18Yx3LLQh6dkb6Z5c_OOJaTVl9Df56QBfJ4-LfWusZzBJOWnmxo7rSN2830cqg-ew7abIVPbVA9g/s1600/36108499.jpg

Majlis konvokesyen yang diadakan pada kali ini agak berlainan sekali berbanding yang sebelumnya selama mana saya menuntut gagasan ilmu di universiti tercinta ini. Inilah merupakan kali pertama majlis konvokesyen diadakan dalam suasana yang berjaga-jaga dengan status kesihatan Influenza A (H1N1) yang teruk melanda global kini. Sebagai langkah pencegahan daripada terusnya menular wabak penyakit berkenaan yang telahpun diisytiharkan sebagai status pandemik pada beberapa bulan yang lain oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesemua graduan serta ahli keluarga diwajibkan untuk memakai topeng penutup mulut dan hidung. Ini adalah langkah dan inisiatif daripada pihak pentadbiran universiti bagi membendung masalah wabak ini daripada terus merebak.

Untuk pengetahuan semua, majlis konvokesyen pada kali ini telahpun memasuki edisi yang ke 43. Majlis konvokesyen ini dianjurkan oleh pihak pentadbiran universiti adalah sebagai salah satu wadah penganugerahan dan pengiktirafan terhadap segala usaha dan penat lelah para graduan dalam mengharungi detik-detik dan liku-liku hidup sepanjang kelana ilmunya di universiti. Namun, pernahkah kalian semua terfikir mahupun tergambar di fikiran dan minda bahawa sejauh mana ijazah yang kita bakal dan telahpun peroleh mampu kita aplikasikan dalam kehidupan kita sehari-hari? Adakah ianya adalah sekadar suatu simbol bahawa kita telahpun mengakhiri sesuatu fasa dan tempoh dalam memperoleh ijazah berkenaan? Apakah kita mampu mengaplikasikan dan menterjemahkannya dalam kehidupan harian kita terutamanya untuk ditaburkan kepada masyarakat agar boleh digunakan sebagai manfaat bersama? Saya sendiri masih lagi tertanya-tanya sehingga kini, adakah segala ilmu yang telah saya pelajari selama ini hanyalah untuk diabdikan terhadap peperiksaan semata-mata. Sehingga kini, saya masih lagi terkesan dengan tutur kata daripada seorang pensyarah saya mengenai isu ini. Di manakah letaknya ilmu seseorang sekiranya ijazah yang diperolehnya kelak hanyalah sebagai suatu lambang dan simbol, namun hasilnya tiada terhadap diri dan masyarakat di sekelilingnya.

Di sinilah persoalan yang menjadi tema utama, di mana kompetensi bakal-bakal graduan yang lahir ini, mampu untuk cemerlang dan mengadaptasikan segala proses ilmu yang diperolehnya semasa melalui alam pekerjaan kelak. Saban tahun, kita sendiri ada yang mendengar khabar berita bahawa graduan yang menganggur semakin meningkat nilainya, lebih-lebih lagi dengan kemelesatan ekonomi global yang melanda negara.

Kebanyakan ilmu yang dipelajari hanyalah bersifatkan teori semata-mata. Namun, di sinilah cabarannya bermula apabila para graduan melangkah ke alam pekerjaan. Bermula pada detik tersebut, pengaplikasian ilmu menjadi nadi dan tonggak utama dalam menentukan bahawa bernilainya seseorang graduan berkenaan terhadap sektor pekerjaan terbabit.

Oleh yang demikian, pembelajaran ilmu secara teori dan praktikal perlu diseimbangkan agar piawaian graduan lepasan universiti kelak mampu bersaing secara kompetitif dengan kumpulan masyarakat di luar sana. Biarlah graduan yang dilahirkan nanti mampu untuk cemerlang dan berjaya sebagai seorang insan yang boleh berdikari dan bersaing secara sihat meskipun berada dalam situasi yang sukar.

Semoga majlis konvokesyen edisi kali ini yang telah berakhir kelmarin berupaya memberikan suatu dimensi baru terhadap para graduan dalam meneruskan perjuangan kehidupan di peringkat yang berbeza serta menjadi medan terhadap para mahasiswa yang masih lagi menuntut untuk berusaha dengan lebih gigih lagi agar supaya menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik. Insya Allah.

Selamat Maju Jaya dan wassalam.

0 comments: