Sunday, September 20, 2009

Resolusi Sempena Musim Perayaan: Bahagian 1

Assalamualaikum dan Salam Syawal kepada semua...

http://photos-h.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc1/hs242.snc1/8929_102802566399801_100000101731558_74727_461844_n.jpg
Kemalangan ngeri yang membabitkan empat buah kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 94.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran susur keluar Gurun

Baiklah, sebentar saja lagi kita bakal menginjak masuk hari kedua dalam bulan Syawal. Antara sedar atau tidak, Aidilfitri telah selamat disambut oleh umat Islam yang meraikannya pada hari ini. Alhamdulillah. Namun, terdetik di benak fikiran saya tatkala membaca dan mendengar hebahan di media-media massa mengenai statistik angka kecelakaan jalan raya yang kian meningkat sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, berdasarkan pada Ops Sikap 20.

Saban tahun, kita sering disajikan dengan perkhabaran yang tidak enak dan memilukan apabila berita kematian dan angka korban nahas jalan raya meningkat dari hari ke hari sepanjang musim perayaan berlangsung. Pada hari Khamis lalu, 17 September, di Kilometer 76, Jalan Kota Bharu - Machang, lima orang yang menaiki sebuah kereta maut dalam kecelakaan jalan raya yang membabitkan tiga buah kenderaan. Inilah hidangan berita yang sentiasa diajukan ke halwa telinga kita saban tahun apabila menjelangnya hari raya.

Hasrat kerajaan dengan menubuhkan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang telah diwujudkan sejak 30 tahun lalu nyata hanya memberikan gambaran resolusi yang sebenarnya menjadi sogokan terhadap mata kita. Namun, persoalannya di sini, mengapa kempen ini yang menjadi antara kempen yang paling dominan berbanding kempen-kempen lain yang dicanang masih lagi memberikan keputusan paling hambar dan paling gagal dalam mengurangkan peratusan kadar maut kecelakaan jalan raya?

Kempen Keselamatan Jalan Raya yang sedia ada kini tidak mampu untuk mengubah angka statistik kecelakaan jalan raya yang kian bermaharajalela. Antara persoalan yang turut sama menjelma di sini adalah, adakah peratusan bilangan kenderaan bertambah saban tahun atau keberkesanan kempen tersebut tidak lagi relevan dan memberi impak kepada para pengguna jalan raya terhadap kesedaran pemanduan berhemah?

Saban tahun, terutamanya musim perayaan, seharusnya kita menyambutnya dengan rasa gembira dan ceria di samping insan dan sanak saudara tersayang dan dikasihi. Namun, realitinya, ia sering kali disulami dengan linangan air mata dan sedu-sedan oleh kaum keluarga akibat perginya insan yang disayangi buat selama-lamanya di dunia ini akibat daripada tempias insiden yang menyahat hati ini.

Jangan terkejut apabila statistik menunjukkan bahawa purata 17 orang maut dalam kecelakaan jalan raya di negara ini. Malah, dalam kajian yang dilakukan oleh Drive and Stay Alive Inc., sebuah agensi bebas yang berpusat di New York menunjukkan Malaysia mempunyai kadar kematian penduduk tertinggi di dunia iaitu 27 orang dalam 100,000 orang. Ini termasuklah kematian disebabkan kemalangan jalan raya. Statistik Ops Sikap 1 (2001) sehingga Ops Sikap 4 (2003), misalnya, mencatatkan 872 kemalangan maut.


Bersambung...

0 comments: