Monday, September 21, 2009

Resolusi Sempena Musim Perayaan: Bahagian 2

Merujuk terhadap konteks statistik angka kecelakaan maut yang dipaparkan dalam tulisan yang sebelum ini, dapatlah kita beranggapan bahawa faktor utama penyumbang terhadap peratusan jumlah kematian adalah berpunca daripada golongan pengguna jalan raya itu sendiri, yakni mereka yang langusng tidak berdisiplin dan berhemah tinggi dalam aspek pemanduan. Lihatlah saja usaha pihak berkuasa terutamanya dalam mengendalikan Ops Sikap semenjak ianya dilancarkan dari tahun 2001 sehingga kini. Hasilnya, kurang berkesan malah semakin menjadi-jadi sehinggakan permasalahan ini boleh disifatkan sebagai salah satu agenda atau isu perdana tatkala menjelangnya musim perayaan.

Tindakan
Ternyata kita tidak boleh mengharapkan pihak polis semata-mata untuk mengurangkan kemalangan. Polis bertindak di peringkat akhir iaitu di atas-atas jalan raya. Tetapi, kita juga wajar bertanya bagaimana pula dengan keadaan jalan yang sering berlaku kemalangan?

Lihat saja statistik ini, pada Ops Sikap 1 tahun 2001 seramai 223 nyawa terkorban daripada 9014 kemalangan (165 darinya adalah kemalangan maut). Pada Ops Sikap sempena Hari Raya Aidilfitri tahun 2007, sebanyak 225 nyawa terkorban daripada 15911 kemalangan (202 adalah kemalangan maut).

Sepanjang 2001 hingga 2007, apa yang kita lakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya? Adakah faktor utama kadar kemalangan maut antara 2001 hingga 2007 ialah sikap pemandu atau sebab-sebab lain yang tidak pernah dibangkitkan sebelum ini? Mengapa ada beberapa lokasi dikenalpasti sebagai zon bahaya jikalau bukan faktornya ialah keadaan jalan raya? Pihak polis telah mengenalpasti lokasi bahaya tetapi pihak yang bertanggungjawab di lokasi berkenaan tidak mengambil sikap proaktif untuk mengatasi masalah ini. Maknanya, kemalangan maut bukan saja disebabkan oleh sikap pemandu tetapi faktor keadaan jalan itu sendiri.

Pernahkah kita menyalahkan pihak yang berkuasa terhadap lokasi-lokasi bahaya yang dikenalpasti oleh pihak polis ini? Saban tahun, kita hanya meletakkan kesalahan kepada pemandu meskipun kita tidak dapat menafikan bahawa sikap pemandu juga menyumbang ke arah kemalangan maut. Jalan persekutuan ternyata menjadi lokasi yang menyumbang terhadap kemalangan maut dan buktinya, dalam Ops Sikap ke 15 tahun 2007, sebanyak 81 kemalangan maut daripada 3522 kemalangan berlaku di jalan persekutuan berbanding 21 kemalangan maut yang dilaporkan berlaku di lebuh raya daripada 1350 kemalangan.

Adakah kita boleh membuat kesimpulan bahawa pemandu di lebuh raya lebih berhemah berbanding jalan persekutuan? Atau sikap pemandunya sama di mana-mana juga tetapi keadaan jalan yang membezakan angka kemalangan maut antara lebuh raya dan jalan persekutuan? Apakah yang telah dilakukan terhadap jalan-jalan persekutuan yang menjadi lokasi bahaya ini?

Secara jujurnya, adakah kita serius untuk berusaha mengurangkan kemalangan maut ini kecuali retorik belaka? Polis telah menjalankan tugas dengan cemerlang tetapi bagaimana pula dengan pihak-pihak lain? Kita semua tahu pihak yang bertanggungjawab ke atas lebuh raya tetapi kita agak kabur siapakah yang bertanggungjawab ke atas jalan-jalan persekutuan. Kementerian Kerja Raya, kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT)? Ini yang tidak pernah ditanya apabila saban tahun perayaan bertukar menjadi tragis dek kemalangan maut di jalan raya.


Bersambung...

0 comments: