Sunday, November 1, 2009

2 Temu Janji dan 1 Mesyuarat Telah Selesai...

Assalamualaikum dan Salam Harmoni...

Alhamdulillah, rasanya, dah lama tidak mencoretkan sesuatu di sini tatkala diri ini diselubungi dengan suasana kesibukan mentelaah. Mana tidaknya, setakat ini, sudah 3 buah subjek dilalui sepanjang seminggu menghadapi peperiksaan akhir semester. Alhamdulillah, setakat ini, prestasi ulangkaji dan kualiti menjawab semasa peperiksaan berada dalam situasi baik meskipun ada salah satu subjek untuk peperiksaan ini agak hambar dan kelam-kabut persediaannya, terutamanya dari aspek pemahaman konsep dan aplikasi yang begitu menguji dasar norma seseorang manusia.

Sehingga blog ini dikemas kinikan, tinggal lagi 2 buah subjek yang bakal datang menjengah jendela dan diari. Insya Allah, yang paling hampir tarikhnya adalah pada 3 November ini, diikuti pula dengan 6 November kelak. Walaupun peperiksaan pada kali ini menutup tirainya agak awal bagi fakulti aku, namun, hampir keseluruhan mahasiswa Tahun 3, yakni tahun akhir bagi jurusan Bologi Industri dan Biologi Tulen akan lebih terarah dan fokus terhadap Projek Sarjana Muda (PSM) yang melihatkan penyelia PSM masing-masing inginkan keputusan dan perkembangan yang positif setelah ianya terhenti seketika di kala menjelangnya musim peperiksaan.

Bercerita mengenai subjek-subjek peperiksaan yang telah aku lalui ini, sebenarnya, sebuah sejarah baru telah dicipta dan tercipta olehku sepanjang hayatku sehingga kini. Seringkali kita mendengar bahawa tidur awal adalah salah satu aspek persediaan fizikal dan mental yang bakal memberikan impak positif ketika menghadapi peperiksaan pada hari esoknya. Tetapi, perkara berkenaan tidak berlaku terhadapku dan beberapa sahabat seperjuanganku yang lain. Kami hanya ke pembaringan setelah jam menunjukkan lebih dari pukul 3 pagi (waktu Malaysia) sedangkan peperiksaan akan bermula tepat jam 9 pagi (waktu Malaysia). Bayangkanlah, minda yang sedang sesak dengan pelbagai informasi yang perlu diisi sebelum bertempur dengan subjek SSG 3162 Techniques in Molecular Biology memerlukan ruang rehat yang ideal bagi minda sebelum ianya beroperasi dengan ligat mencatur strategi semasa waktu peperiksaan berlangsung. Dan, alhamdulillah, berbekalkan keazaman dan ketabahan yang tinggi, kami semua mampu bersengkang mata menghadapi ujian dan dugaan tersebut. Syukur buat-Nya.

Baiklah, waktu pun sudah hampir menitipkan saatnya ke waktu Maghrib. Insya Allah, jika diberi keizinan lagi oleh-Nya, akan aku nukilkan sesuatu di sini kelak. Kepada mereka yang masih lagi menempuh hari-hari peperiksaan kelak, Selamat Mengulangkaji Pelajaran dan Selamat Maju Jaya.


Wassalam...

2 comments:

selamat berjuang di medan imtihan..gudluck!

p/s: thnx again for the past year papers.. :)

Unknown said...

Selamat berjuang juga untuk Kina...
All the best...

P/S: You're most welcome...
Ada apa-apa yang boleh abang tolong, abang tolonglah sekadar yang termampu...
:)