Sunday, October 3, 2010

Sekilas Majlis Konvokesyen UTM ke 45


27 September 2010, bersamaan 18 Syawal 1431 Hijrah. Suasana sekitar Dewan Sultan Iskandar (DSI) diselubungi dengan hujan yang mulai turun pada tengah harinya. Suasana sekitar dewan juga turut dibanjiri dengan ibu bapa dan ahli keluarga tersayang.

Jam hampir menunjukkan jam 1.25 tengah hari. Usai saja solat Zuhur berjemaah di Masjid Sultan Ismail (MSI), aku melangkah keluar. Dengan siap berpakaian baju Melayu hitam cekak musang bersampingkan songket hitam emas, aku menyarung jubah berwarna merah maroon. Mortar board aku sisipkan di sisi kepala tatkala selesai menyarung jubah. Seterusnya, aku melangkah menuju ke perbarisan para graduan.

Mataku meliar melihat keadaan sekeliling. Wajah ibu bapa dan sanak saudara yang hadir mempamerkan secalit senyuman. Senyuman bangga dan gembira. Ada yang tiba beberapa hari lepas, ada juga yang baru tiba hari ini. Meskipun keletihan menempuh perjalanan yang panjang bagi mereka yang datang dari pelbagai pelusuk kawasan, semua itu tidak menjadi agenda utama. Semuanya kerana segulung ijazah yang diraih oleh insan tersayang dan teristimewa.

Semasa berada di dalam DSI, menantikan ketibaan Yang Berhormat Dato' Pro-Canselor UTM, aku sempat merenung ke arah ibu bapa yang hadir dan berada di dalam DSI berkenaan. Sama seperti dengan apa yang aku lihat sebelum aku memasuki DSI. Sinar cahaya kegembiraan jelas terpancar di medan wajah mereka. Alhamdulillah, berkat usaha mereka, anak-anak berjaya mencapai cita-cita untuk menggenggam segulung ijazah di menara gading.

Seketika kemudian, Yang Berhormat Dato' Pro-Canselor diarak masuk ke DSI dengan diiringi Yang Berbahagia Dato' Naib Canselor UTM bersama-sama Timbalan Naib Canselor dan para Dekan. Di hadapan perarakan mereka diterajui oleh seorang lelaki yang lengkap berpakaian Melayu bersama tanjak di kepala sambil memegang sebilah keris gergasi. Beliau berjalan, memandu semua dif-dif kehormat masuk ke dalam DSI. Keris terbabit diletakkan di atas paranya; di atas pentas utama sebagai simbolik terhadap bermulanya majlis konvokesyen bagi sesi petang itu.

http://www.utm.my/aboututm/images/stories/datoZaini.gif
Yang Berbahagia Dato' Ir. Dr. Zaini Ujang
"Percayalah bahawa mereka yang berilmu tidak akan sekali-kali rugi dan miskin. Para ilmuwan sebenarnya lebih berharta dari hartawan kerana ilmu tidak berkurangan walau dibelanja sebanyak manapun; ilmuwan lebih berkuasa dari ketua penguasa kerana ilmu memimpin ke jalan yang lurus. Sesungguhnya, peranan ilmuwan itu adalah penyuluh minda, penyubur jiwa, pemimpin zaman dan pewaris para Nabi."
Petikan ucapan daripada Yang Berbahagia Dato' Naib Canselor UTM semasa ucaptamanya sempena majlis konvokesyen bagi sesi lima, 27 September 2010.

Ucapan daripada Yang Berbahagia Dato' Naib Canselor UTM sememangnya memberikan suatu semangat yang mengalir dalam diriku. Semangat untuk memburu ilmu dan berbakti terhadap masyarakat apabila tiba masanya. Suatu ucapan dan laungan ilmuwan yang begitu memberikan isotonik terhadap para graduan, terutamanya yang menyambung pengajian masing-masing di peringkat pasca-ijazah.

Tamat saja sesi penganugerahan ijazah Sarjana Muda bagi sesi petang itu, maka, secara rasminya aku bergelar graduan. Alhamdulillah. Suasana pada petang itu disambut dengan linangan air hujan yang turun menyambut kami keluar dari DSI. Hujan rahmat bagiku meskipun ada yang merungut kerana dek hujan kerana mengganggu agenda mereka setelah itu iaitu bergambar.

Aku melangkah keluar dari DSI menuju ke MSI. Melihatkan jam di tangan yang sudah menunjukkan angka melepasi jam 5 suku petang, aku berwuduk dan terus bersolat Asar. Setelah selesai segala urusanku yang melibatkan majlis konvokesyen pada petang itu, aku melangkah menuju ke bilikku. Terasa seperti kosong. Terasa seperti kehilangan sesuatu.

Aku meredah jalan menyelusuri hingga ke Centre Point (CP) untuk membeli makanan. Hampir seharian aku tidak menjamah sesuap makanan masuk ke perut. Hanya semata-mata untuk bersiap dan bersedia untuk menghadiri ke majlis konvokesyen tersebut. Di segenap pelusuk bumi UTM, para ibu bapa dan sanak saudara berkumpul untuk meraikan kejayaan anak dan saudara mereka. Sememangnya, suasana tersebut adalah lumrah apabila majlis konvokesyen seperti itu dianjurkan.

Aku melangkah menuju ke bilik setelah usai membeli makanan. Niatku ketika itu hanya satu. Berusaha untuk mengecapi kejayaan seterusnya dalam bidang pengajian di peringkat sarjana dengan kehadiran keluarga. Insya Allah. Itu tekadku. Itu nekadku.

http://azrulhisyam.files.wordpress.com/2008/08/1_769815126l.jpg

Nota Kaki: Belum terlambat lagi rasanya untuk mengucapkan tahniah kepada para graduan UTM pada Majlis Konvokesyen UTM ke 45. Semoga kalian semua berjaya dalam kehidupan yang kalian tempuhi. Kepada rakan sekuliah, Sarjana Muda (Sains) Biologi Industri dan Biologi Tulen, Insya Allah, jika ada kesempatan, kita berjumpa lagi. Selamat Maju Jaya buat kalian semua.

5 comments:

Mar Yanie said...

congratez!!

tahniah yer...bestnye kan dah grade...lepas ni grade dapat master pulak..wahhh...

Cik Anis said...

fahmi..akak dtg time korg konvo..cari2 fahmi.xjmpa pn..hadiah ada ni..bila mau angkat..lama dh simpan..huhu

Unknown said...

Maryani:
Tahniah juga untuk anda...

Hidayah:
Terima kasih...
Untuk graduate Master tue, Insya Allah...

Kak Anis:
Owh...
Fahmi ada kat MSI...
Lepas aje keluar DSI, terus solat Asar...
Pastue, amibil gambar dengan Prof., terus balik...
Hmm...
Hadiah tue, Fahmi ambil daripada akak masa jamuan raya fakulti, boleh?
Terima kasih ya...
:)

Cik Anis said...

okehhh..nti msg2 eh...hehe..kot2 xjmpe..maklumlah sebok tgk mknan..^^