Friday, April 30, 2010

Panggilan Yang Tidak Diduga

Jumaat, 30 April 2010. Jam menunjukkan jam 5.06 petang. Sedang aku melayari internet untuk melihat perkembangan semasa, telefon bimbitku berdering. Suatu nombor yang tidak aku kenali terpapar di skrin. Aku menjawab panggilan tersebut.

Setelah mengenal empunya diri yang menelefon, minda aku fokus dan terarah terhadap bayangan kampus. Selang beberapa minit aku melayani panggilan terbabit, aku termenung jauh. Dahiku berkerut. Fikiranku juga turut kusut. Cuba menganalisis keputusan yang bakal aku terima kelak. Aku menghela nafasku dalam-dalam.


Setelah diri berada dalam keadaan sedikit tenang, aku menyuarakan apa yang terbendung dalam diriku kepada bonda yang dikasihi. Bonda mendengarnya dengan penuh prihatin. Syukur, bonda memberi keizinan untuk aku pulang semula ke UTM. Namun, aku belum lagi meluahkan hasrat dan keputusan aku kepada abah tercinta.


Aku menuruni anak tangga perlahan-lahan. Cuba untuk memerhatikan setiap pergerakan abah yang sedang khusyuk memerhatikan skrin paparan laptopnya. Aku menghampirinya dan cuba untuk membawa berbincang dengannya. Dan, syukur, alhamdulillah. Abah juga turut sama memberikan jawapan yang positif.

Hati ini sebenarnya begitu berat untuk kembali semula ke kampus sedangkan belumpun sampai sehari semalam aku berada di kampung halamanku. Namun, demi insan yang aku sayangi, aku teruskan jua dan cuba untuk meredhakan segala apa yang berlaku. Mungkin ini petunjuk dan pengajaran daripada-Nya kepada aku. Getus hatiku keseorangan.


Nota Kaki: Jangan sekali-kali menangguhkan kerja yang boleh disempurnakan dalam waktunya. Peringatan untuk diri sendiri dan yang lain.

0 comments:

Tuesday, April 27, 2010

Kerana Secebisnya Ilmu

Mataku sedang asyik memerhatikan paparan laptopku. Memerhatikan setiap bait-bait ayat yang dipaparkan dan tertera di situ. Aku menghela nafas panjang. Bibirku dilirikan sedikit cuma. Alhamdulillah. Perkataan syukur bergema di ruang hatiku.

Lebih mendalam lagi perasaan itu apabila mendapat mesej daripada insan tersayang.
"Salam. Subjek UHS3102 dapat A-. Tahniah."

Mesej yang dikirimkan daripada ayahanda tidak aku biarkan begitu saja. Aku membalasnya. Alhamdulillah. 1 daripada 7 subjek bagi pengajian aku di semester akhir ini memberikan hasilnya, meskipun aku tahu betapa peritnya menghadapi semester ini berbanding semester-semester terdahulu. Begitu perit untuk digalas bagi seorang yang masih lagi belum mengenal erti kehidupan dunia yang fana ini.

Masih lagi tergambar suasana ketika mula-mula memasuki semester akhir. Hidup seperti bukan manusia normal ketika itu. Memenjarakan diri di dalam makmal untuk menyiapkan Projek Sarjana Muda (PSM) yang merupakan salah satu keperluan untuk seseorang mahasiswa pra-siswazah melalui proses graduasi. Memulakan kehidupan sebagai mahasiswa tahun akhir dengan subjek-subjek yang agak kritikal dan berat inputnya. Namun, semua itu harus dan mesti dihadapi jua.

Subjek Terknologi Fermentasi, Tabiat Organisasi, Keusahawanan, Terapi Gen dan seangkatan dengannya. Semuanya perlu dipelajari demi menghabiskan kehendak silibus dan kualiti graduan yang mempelajari subjek-subjek yang berkaitan dalam bidang Bioteknologi Industri ini. Meskipun terasa bagaikan hidup ini seperti sering tidak memihak kepada diri, namun, dibuang sejauh-jauhnya tafsiran itu. Semuanya yang terjadi dan berlaku, ada hikmah dan pengajaran di sebaliknya. Jika tidak terhadap diri sendiri, mungkin untuk masayarakat di sekeliling kita.

Senarai tampal yang dipaparkan dalam laman akademik UTM aku tutup. Namun, minda masih lagi menerawang memanggil kembali memori silam. Pernah suatu ketika dahulu, aku menangis keseorangan di bilik. Ketika itu, aku baru pulang dari makmal setelah menyelesaikan kerja-kerja PSM. Aku terbaring di katil. Kepenatan yang amat menyelubungi diriku. Dengan tidak semena-mena, air mataku mengalir deras kerana mengenangkan laluan hidup yang begitu mencabar. Tidak pernah aku merasakan sebegini perasaan aku selama mana aku berjihad di medan ilmu.


Benar. Mencari ilmu bukannya mudah seperti yang diperkatakan. Senang untuk diucap, namun sukar untuk dilaksana dan dilakukan. Semuanya memerlukan kekuatan dari pelbagai aspek untuk mendaki satu demi satu anak tangga matlamat. Bukannya boleh melompat beberapa anak tangga untuk mendakinya. Adakalanya kita perlu melepaskan segala bebanan yang bersarang dalam diri sebelum kita mampu untuk bangkit menghadapi ujian-Nya. Kerana kita adalah hamba-Nya yang tidak sempurna berbanding sang Pencipta. Lumrah dan fitrah manusia. Manusia diberikan emosi untuk melahirkan perasaannya dalam bentuk atau prospek mengikut lunas-lunas syara'. Tidak semestinya manusia yang menangis atau rebah meratapi nasibnya dikategorikan sebagai lemah. Ia sebenarnya boleh menjadi tonik kepada insan tersebut untuk bangkit meneruskan kembali perkara yang membelenggunya.


Suka duka dalam pencarian ilmu ini sudah sinonim dalam kehidupan insan berilmu. Adakalanya kita merasai nikmat dalam menuntut ilmu, namun kita tidak terlepas dari pahitnya. Sentiasalah melapangkan dada dan hati terhadap segala ujian-Nya dan jangan sesekali lupa untuk bersyukur atas nikmat pemberiannya.


Kerana secebisnya ilmu...

0 comments:

Wednesday, April 7, 2010

Notis Kepada Mahasiswa

Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Semester bagi seluruh mahasiswa.

Semoga kejayaan berada dalam genggaman kita, Insya Allah.

Selamat Maju Jaya.

0 comments: