Sunday, July 4, 2010

[Cerpen] Aku Anak Abah dan Ummi

Aku melangkah dengan penuh sayu. Hati ini dari pagi lagi diruntun pilu. Resah. Tidak mahu untuk berdamai. Sentiasa digasak. Aku melangkah menuju ke satu destinasi; destinasi ilmu.

Aku mengeluarkan segala borang dan helaian kertas yang berkaitan semasa berada di ruang menunggu. Mataku mengerling di segenap sudut. Memerhatikan segala tingkah manusia yang berada di situ. Abah dan Ummi menghampiriku. Baru tiba. Semenjak tadi mencari lokasi yang sesuai untuk memakirkan kenderaan.

"Dah daftar dah?" soal abah.

"Belum lagi, abah. Ira tunggu giliran sekarang ni." Jawabku sambil menghulurkan kerusi yang aku duduk terhadap abah dan ummi.

Aku memerhatikan jam di tangan. Sudah menginjak ke jam 9 pagi. Suasana pagi itu sedikit suram tanpa kelibat cahaya mentari yang sebelum ini begitu setia melabuhkan sinarnya di ufuk Timur. Awan mendung larat memenuhi gema langit. Bakal menandakan butiran rahmat hujan akan turun.

Mataku melinggas memerhati. Sambil cuba menenangkan hati. Kehadiran mahasiswa-mahasiswa baru yang mendaftar sebagai mahasiswa Tahun 1 bagi pengajian kali ini sememangnya merupakan saat atau detik yang menggembirakan bagi seluruh pelusuk keluarga. Aku pernah melihat dan merasai saat sebegitu semasa menghantar abangku 4 tahun dahulu. Lokasi pengajian abangku dan aku masih lagi sama. Tidak pernah berubah.

Keceriaan jelas terpancar dari raut wajah ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka. Meskipun mereka sedar bahawa mereka akan berpisah demi secicip ilmu yang perlu buat si anak kelak, maka mereka merelakan perpisahan ini terjadi. Rela melepaskan anak jagaan yang dibelai penuh kasih dan sayang itu pergi memenuhi keinginan dan peluang dalam memperoleh ilmu buat persediaan di hari muka.

Aku tunduk memandang sampul surat tawaranku. Membukanya. Fokus mataku terus tertancap pada nama dan kod pengajian aku. Nurul Nazira binti Abu Bakar. SEL-Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik). Aku bakal mewarisi baka kejuruteraan daripada abah. Abangku lebih terarah minatnya terhadap ilmu bioteknologi. Ah! Aku sememangnya anak abah. Getus hatiku sendirian.

Tidak lama kemudian, aku telah selamat mendaftar sebagai mahasiswa. Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia. 3 hari lagi, aku akan mendaftar di Fakulti Kejuruteraan Elektrik pula bagi pendaftaran subjek kelak. Itu yang tertulis dalam senarai jadual waktu yang diberikan oleh krew-krew yang bertugas semasa pendaftaran mahasiswa baru.

Aku mengatur langkah aku bersama-sama abah dan ummi menuju ke blok kediaman. Setelah segalanya siap dan usai menyelesaikan urusan pengemasan bilikku, abah dan ummi meminta diri untuk pulang. Ketika itu, hati aku diragut sayu. Pilu. Tubir mata mula bergenang dengan air jernih.

"Ira, jangan menangis ya. Ira kan anak abah, anak ummi. Anak abah dan ummi mana boleh menangis. Mesti kuat tahu. Ingat pesan abah dan ummi ni. Rajinlah dalam menuntut ilmu. Namun, jangan sekali-sekali Ira alpa tanggungjawab Ira terhadap Allah. Jangan tinggalkan solat. Jaga diri elok-elok ya." Abah berpesan dengan penuh hikmah. Pesanan demi pesanan yang sudah acap kali kedengaran oleh aku dan abangku. Namun, nasihat inilah yang begitu penting, yang sentiasa berlegar-legar di mindaku agar sentiasa memandu diri ini daripada tidak terbabas kelak.

"Ummi nak tengok anak-anak ummi semuanya berjaya. Meskipun kita dari keluarga yang kurang berkemampuan, tapi, hanya dengan ilmu saja yang mampu abah dan ummi usahakan untuk berikan kepada Ira. Ira belajar rajin-rajin ya." Ummi terus memelukku. Suatu dakapan hangat yang diraikan bersama dengan jujuran air mata ibu dan anak.

Aku mengiringi abah dan ummi. Mengiringi kepulangan mereka. Lambaian abah dan ummi aku tatap sehingga ianya hilang dari pandangan mataku. Ya. Aku tekad. Aku akan berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai segulung ijazah di tangan demi membalas segala perit-jerih pengorbanan abah dan ummi dalam membesarkan aku. Aku berlalu masuk ke bilik dengan azam baru. Azam yang berkobar-kobar. Aku mesti kuat. Sebab aku anak abah dan ummi.


Nota Kaki: Selamat melangkah ke dunia baru kepada mahasiswa-mahasiswi baru bagi sesi pengajian 2010/2011.

1 comments: