Sunday, May 10, 2009

Cerpen: Ranjau Kehidupan (Bahagian 6)

Sambungan dari Bahagian 5


Pagi ini sungguh dingin sekali udaranya. Nyaman. Maklumlah, waktu Subuh tadi bumi Johor ini disirami hujan yang agak lebat. Aku berjalan-jalan di sekitar kawasan kolej kediamanku. Menyirup udara pada pagi itu setelah hujan reda sambil melihat kebesaran dan keindahan ciptaan Yang Maha Esa. Di ufuk timur, sang suria masih lagi belum menampakkan sinar cahayanya. Aku tiba di suatu pondok yang terletak bersebelahan dengan gelanggang tenis. Aku terus duduk di bangku yang disediakan di pondok tersebut. Mataku memerhatikan suasana persekitaran pada pagi itu. Fikiranku kosong. Hanya mampu untuk mentafsirkan kehijauan dan keindahan pada pagi itu yang masih lagi dibasahi dengan embun. Peperiksaan akhir aku baru saja selesai kelmarin. Subjek Elektrik. Alhamdulillah, aku berjaya mengharungi minggu-minggu peperiksaan tersebut dengan tenang walaupun aku merasakan soalan peperiksaan pada kali ini agak sukar berbanding soalan-soalan peperiksaan pada sesi lepas berdasarkan set-set soalan peperiksaan yang ada dalam simpananku untuk rujukan.

Aku masih lagi duduk di bangku. Duduk merenung suasana pada pagi itu. Sekali-sekala terungkap kembali peristiwa-peristiwa lepas yang bisa mungkin aku berada pada hari ini. Pelbagai peristiwa yang kurasakan terlalu amat bermakna yang telah aku lalui sehingga kini. Namun, aku masih tidak dapat melupakan peristiwa aku dipukul dan dimarahi seteruk-teruknya oleh ayahku. Titik hitam dalam sejarah kehidupanku.Hanya kerana perbezaan ideologi dan fahaman, aku dipukul dengan tali pinggang sehingga berbirat-birat tubuhku dilakukan oleh ayahku, bagaikan dirasuk hantu. Tidak cukup dengan itu, aku dimarah, dicaci dan diherdik serta diugut jika aku masih lagi berdegil dengan prinsip dan pendirian aku. Namun, atas dasar kepercayaan aku terhadap-Nya, aku tidak sesekali gentar dan tunduk dengan tuntutan gila ayahku sendiri. Aku tidak melawan sekalipun terhadap apa yang dilakukan oleh ayahku kepadaku, tapi aku hanya memintanya agar dia merestui hidupku setelah aku memeluk agama Islam. Aku dihalau keluar dari rumah meskipun dihalang oleh ibuku. Tapi, demi agama yang telah aku anuti ini, aku keluar juga atas arahan ayahku. Akhirnya, di sinilah aku berada kini. Jauh di selatan tanah air. Meneruskan pengajian aku dalam bidang yang aku minati di peringkat ijazah sarjana muda.

“Ah, biarlah ia berlalu pergi. Tak mungkin aku dapat bertemu dengan keluargaku kembali jika papa masih lagi jumud dengan pendiriannya,” getus dalam hatiku.

Tiba-tiba, suara lunak seorang Hawa memberikan salam. Aku menoleh mencari kelibat suara tersebut. Tidak semena-mena, mataku bertentang mata dengan si empunya diri yang memberi salam sebentar tadi. Aku terkedu. Lama aku memerhati tubuh yang berada di hadapan kaca mataku. Lama aku cuba mengingati raut wajah dara yang tersenyum manis memandangku.


Bersambung...

0 comments: