Friday, May 1, 2009

Cerpen: Takdir-Nya (Bahagian 1)

ANGIN Barat Daya bertiup agak kencang. Unggas masih lagi terbang berkicauan di angkasa raya. Litup awan hitam mula berarakan memasuki ruang jendela langit. Petanda bahawa hujan bakal menyirami bumi. Aku berteleku menghadap tasik yang dikerumuni pelbagai peringkat usia manusia. Ada yang memancing, ada yang bermain layang-layang. Tak kurang juga ada yang berjogging mengelilingi lingkungan tasik buatan ini. Namun, hatiku tidak langsung terusik dengan segala perilaku yang berlaku di sekelilingku. Walaupun jasad aku masih lagi di situ, tapi fikiranku melayang memikirkan hal yang berlaku pada malam tadi. Masih lagi terngiang-ngiang di kotak mindaku, ibarat seperti sebuah pemain video yang acap kali berulang kali memutarkan kembali peristiwa yang sungguh tidak dapat aku terima hakikatnya. Masakan untuk menghadapinya jua.

“Ikram tak nak fikir hal tu lagi.”

“Kenapa ni, Ikram? Yang dah berlalu tu biarkanlah ianya pergi. Tak ada gunanya Ikram menyeksa diri Ikram dengan bersikap sebegini,” ujar ayahku yang memandangku dengan pandangan mata yang menghala ke arahku. Matanya seakan meminta jawapan daripadaku.

“Hati Ikram dah tertutup dah ayah,” balasku dengan nada separuh berbisik.

“Ikram, dengar cakap ayahmu tu. Ibu faham perasaan Ikram. Tapi, yang dah berlalu pergi tak usah dikenang hingga menyebabkan hidup Ikram merana. Ibu sayangkan Ikram.”

Itulah antara bibit-bibit perbualan yang meruntun jiwaku kini. Bait-bait ayat perbualan itu seolah-olah bagaikan racun yang semakin menular. Merebak ke seluruh ruang hatiku. Pilu. Sayu. Semuanya berbaur sekali menjadi satu. Aku menghela nafasku. Panjang. Satu bebanan yang terasa amat berat sekali untukku pikul dan bawa bersama. Fikiranku buntu. Buntu untuk memikirkan hal semalam. Mampukah aku menempuhinya? Ya Allah, Kau berikanlah aku kekuatan dan petunjuk daripada-Mu agar aku dapat menempuhinya dengan tenang dan sabar. Jikalau ini ujian Kau terhadapku, aku redha dengan segala apa yang telah Kau tetapkan terhadapku. Aku mula menyelami perasaan aku ketika itu.

Bersambung...

0 comments: