Wednesday, May 13, 2009

Kerjaya, Kahwin & Haji. Mana Satu Pilihan Kalbu?

Assalamualaikum dan Salam Mesra Pengirim Bicara…

Hmm, pertama kali terbaca tajuk ini, pasti ligat persoalan & pertanyaan yang bertali menyusun ruang legar pemikiran kalian. Ada yang tersenyum, tercengang, berkerut dahi memikirkan sesuatu dan pelbagai lagi ragam yang bakal mewarnai kaca mata yang memandang & memerhati. Sudah pasti, ada yang mash lagi termangu-mangu meneliti setiap sudut aspek soalan tersebut.

Baiklah. Seperti tajuk yang tertera di atas, “Kerjaya, Kahwin dan Haji. Mana Satu Pilihan Kalbu?”, hanyalah sekadar nukilan yang ingin dibicarakan sebagai membuka persepsi kalian dalam meniti kehidupan sehari-hari. Tajuk ini bukanlah dibuka untuk didebatkan secara hangat, namun lebih sekadar sebagai membuka minda kalian dalam memerhatikan masyarakat yang sedia ada masa kini.

Tajuk ini dipilih dengan tidak semena-mena apabila ada seorang sahabat aku yang secara tiba-tiba mengutarakan persoalan secara rambang kepada aku & sahabat yang lain semasa sedang menjamu selera pada suatu malam sebelum tamatnya peperiksaan akhir semester aku. Ketika itu, berita Buletin Utama sedang menyiarkan keadaan & situasi jemaah Haji Malaysia yang telahpun berada di Tanah Suci pada ketika itu. Jadi, bermula dari detik tersebutlah, aku mula memikirkan sejauh mana persoalan itu.

Secara lumrahnya, apabila memikirkan antara kerjaya, kahwin dan haji, ramai yang memilih untuk melaksanakan Rukun Islam yang kelima itu apabila telah sampai masanya, yakni usia tuanya. Bukannya hendak mengatakan bahawa adalah salah untuk melaksanakan rukun tersebut di kalangan usia kita telah menjengah waktu senja, tetapi cuba kalian bayangkan jika kalian dapat melaksanakannya di usia muda, di mana kalian ketika itu masih lagi mempunyai kekuatan & harta yang sebenarnya mampu untuk kalian belanjakan demi menyahut seruan daripadaNya. Cuba kalian fikir-fikirkan sejenak.

Jika ingin mengetahui pendapat aku, serius aku katakan yang aku ingin mengerjakan haji tatkala usiaku masih lagi muda & mempunyai kekuatan fizikal bagi melaksanakan rukun tersebut tanpa adanya sebarang masalah kritikal yang mampu merencatkan perjalanan fardhu haji tersebut.

Namun, seperti yang kalian ketahui, untuk mengerjakan fardhu haji memerlukan perbelanjaan yang cukup besar. Masakan ada di antara kita yang ibu bapanya masih lagi belum berkesempatan untuk melakukannya disebabkan jumlah simpanan yang masih lagi tidak mencukupi bagi menampung kos melaksanakan fardhu haji berkenaan. Oleh itu, seharusnya, apabila kita sudah berkerjaya kelak, alangkah eloknya jika kita memperuntukkan sedikit kewangan kita bagai membolehkan kita menyambut Lambaian Kaabah yang sememangnya hanya golongan tertentu saja yang mendapat jemputan tersebut daripada-Nya. Jadi, rebutlah peluang tersebut & berharap agar kita adalah salah satu yang mendapat jemputan daripada-Nya untuk bertandang ke rumah-Nya & Masjid Nabawi, di mana terletaknya makam pemimpin yang paling agung, Rasulullah saw.

Justeru, kalian semua renung-renungkanlah sejenak persoalan di atas. Tidak salah jika ada di antara kalian yang ingin membina sebuah masjid secepat yang mungkin, tetapi alangkah indahnya jika kalian dapat membawa pasangan kalian menunaikan haji setelah selamat diijab kabulkan secepat mungkin. Pastinya indah hubungan perkahwinan kalian kelak dengan bersama-sama mengagungkan Pencipta & bersyukur kerana berjaya melangsungkan perkahwinan yang dibina atas dasar taqwa kepadaNya.

Jadi, harapan aku agar kalian dapat mengutarakan sebarang komentar kalian mengenai persoalan tersebut agar dapat kita bersama-sama mencambahkan buah fikiran. Segala salah silap sehingga menyebabkan mana-mana pihak tersinggung dengan pandangan yang disampaikan oleh aku sebentar tadi, aku menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada kalian. Bukan niat aku untuk mengguris perasaan kalian. Apa yang aku sampaikan tadi hanyalah sekadar pendirian diriku saja tanpa membabitkan mana-mana individu lain. Sekadar ingin menyatakan pendapat aku saja.

Baiklah. Sehingga kita dipertemukan lagi oleh-Nya dengan keizinan daripada-Nya. Insya Allah. Semoga bertemu lagi.

Wassalam dan Salam Mesra Wadah Ukhuwah...

0 comments: