Friday, May 1, 2009

Cerpen: Takdir-Nya (Bahagian 3)

Sambungan dari Bahagian 2

“Ikram, ayah tahu Ikram amat menyayangi dan menyintai arwah isteri Ikram, Fatin. Tapi, berilah peluang kedua terhadap diri Ikram dalam menjalani kehidupan ni,” jelas ayahku sambil merenung tepat ke arah anak mataku. Seakan-akan meminta agar permintaannya kali ini dituruti olehku.


“Betul apa yang ayah cakap tu, Ikram. Ibu bukannya nak Ikram melupai arwah isteri Ikram, tapi sekurang-kurangnya, segala keperluan Ikram, makan minum Ikram, tempat tinggal Ikram, sakit demam Ikram, adalah juga insan di sisi Ikram yang turut sama menjaga Ikram nanti. Kami berdua dah berusia. Tak mampu nak jaga Ikram seperti Ikram kanak-kanak dulu,” ujar panjang lebar ibuku yang telah menjangkau usia hampir 60-an.

“Terima kasih banyak-banyak Ikram ucapkan terhadap ayah dan ibu kerana menjaga dan mengambil berat akan keadaan dan situasi Ikram sendiri. Ikram bukannya nak mengguris hati dan perasaan ayah dan ibu, tapi, Ikram harap ayah dan ibu berilah sedikit ruang dan masa kepada Ikram untuk membuat keputusan.”

“Baiklah. Kami tak mendesak Ikram untuk menerimanya. Tapi, seboleh-bolehnya, kami nak Ikram hidup seperti orang lain, yang mempunyai isteri dan keluarga. Apa yang kami buat ni sebenarnya untuk kebaikan Ikram sendiri. Ikram fikirlah. Walau apapun keputusan yang Ikram beri nanti, kami akan terimanya dengan hati yang terbuka,” beritahu ayahku dengan nada yang penuh mengharap sambil berlalu pergi bersama dengan ibuku, meninggalkanku berkeseorangan di ruang tamu rumah.

Aku duduk bersandar di sofa. Merenung ke arah siling. Kosong. Sungguh pilu jiwaku apabila mendengar luahan seorang ayah dan ibu terhadap anaknya. Menyentap ruang hatiku. Terbayang-bayang wajah arwah isteriku dan wajah ayah serta ibu di ruang mataku. Saling silih berganti. Hatiku amat berat untuk membuat keputusan tersebut. Antara terus hidup membujang hingga ke akhirnya atau menerima jodoh pilihan keluarga. Ya Allah, andainya dugaan ini yang Kau berikan kepadaku, maka, aku memohon pertolongan daripada-Mu agar Kau berikanlah kekuatan kepadaku untuk menempuhinya. Berikanlah petunjuk agar aku mampu mencari jawapan terhadap persoalan Kau, Ya Allah. Hanya Kau saja yang mampu memberikan pertolongan terhadap hamba-hamba-Nya. Hanya Kau, Ya Allah…

Grooom! Aku tersentak. Guruh berdentum kuat, memecahkan keheningan petang itu. Aku kembali semula ke alam fana ini. Aku melihat jam di tangan kiriku. Waktu sudah hampir menunjukkan jam 5.30 petang. Aku bergegas pulang ke rumah. Berehat dari segala kesibukan kerja yang meruntun rutin kehidupanku. Menenangkan fikiran yang benar-benar menggugat ketenangan jiwaku sejak akhir-akhir ini.

Bersambung...

0 comments: