Monday, June 22, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 22)

“Baiklah, Lisa. Nanti abang tolong Lisa mana yang patut ya,” ujar Amar setelah lama menganalisis persoalan dan cadangan daripada isterinya. Bukan nawaitunya untuk menidakkan kehendak dan pertolongan yang dihulurkan oleh isterinya, namun, jauh di sudut naluri lelakinya, dia seakan-akan telah gagal melaksanakan tanggungjawab seorang suami terhadap keluarga. Gagal. Naluri kecilnya menjerit semahu-mahunya. Adakah Lisa yang akan bersusah payah mencari nafkah keluarga kelak? Status dirinya sebagai suami pula bagaimana? Seringkali hatinya diusik dan ditusuk dengan gemaan laungan tersebut.

“Abang, abang. Hish, abang ni. Asyik-asyik termenung. Apa yang dimenungkan tu? Sampaikan Lisa panggil banyak kalipun abang buat dek aje,” rungut Lisa setelah Amar masih lagi melayan jiwa dan perasaannya tanpa mengendahkan suara Lisa.

“Ya, sayang. Maafkan abang ya. Abang bukannya sengaja tadi,” pujuk Amar dengan mimik wajah yang sengaja dibuat-buat manja.

“Tak nak. Nak merajuk juga. Abang tak jawab lagi soalan Lisa tadi.” Wajah Lisa masih lagi masam mencuka. Malah bertambah mencuka berbanding tadi.

“OK, OK. Abang berfikir mengenai masa depan keluarga kita. Tu aje. Abang rasa abang dah membebankan Lisa dengan tugasan terbaru ni. Sepatutnya, abang yang mencari dan memberikan nafkah kepada keluarga. Tapi…” Tergantung nada suara Amar. Hendak saja dia menyuarakan luahan isi hatinya, namun bagaikan tersekat di kerongkong. Seperti tidak mahu untuknya melunaskan bait-bait hutang ayat tersebut.


Bersambung...

*Sekuel cerpan ini boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: