Friday, June 26, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 26)

Mama sedang bersiap-siap di dapur sebelum menjual juadahnya petang nanti. Mencuci dan membersihkan senario dapur yang agak bersepah dari awal pagi lagi. Juadah yang akan dijual mama nanti adalah seperti Ayam Masak Merah, Dalca Daging, Ikan Tiga Rasa, Nasi Lemak dan pelbagai aneka kuih tradisional serta moden. Semua juadah itu akan dijual kepada Makcik Limah, pengusaha kantin sekolahku. Kini, telah masuk sebulan sudah mama berniaga seperti ini. Alhamdulillah, berkat kerja keras mama, akhirnya, kewangan keluarga kembali stabil. Abah juga turut sama membantu mama terutamanya dalam memasak Dalca Daging dan Ikan Tiga Rasa. Abah memang pakar dalam menu hidangan tersebut kerana menu itu adalah menu yang berasal daripada arwah ibunya. Mama terduduk lesu setelah selesai menyiapkan segala urusannya. Menghela nafas panjang-panjang. Aku yang baru pulang dari sekolah sejak tadi hanya memerhatikan perilaku mama. Mama sedikitpun tidak menyedari kelibatku di sebalik tirai yang memisahkan antara dapur dengan ruang istirahat. Aku sedikit dipalit rasa kasihan melihatkan mama yang bertungkus-lumus bekerja semata-mata untuk membesarkan aku. Air mata aku mula bertakung.

“Eh, Amir. Bila sampai ni? Jom, kita makan sekali. Amir pergi tukar baju dulu ya,” ujar mama setelah menyedari kehadiran aku di situ yang telah lama memerhatikannya sejak dari tadi lagi. Mama melangkah menghampiri diri aku.

“Amir, kenapa ni, sayang? Kenapa anak mama menangis? Amir tak sihat?” sambung mama lagi setelah melihat genangan air jernih di kelopak mataku tatkala sedang menghampiriku. Aku diam. Kaku. Tidak tahu jawapan yang ingin diberikan kepada mama. Hanya membiarkan diri ini dipeluk oleh mama ketika itu.
Bersambung...
*Sekuel cerpan ini boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: