Thursday, June 4, 2009

Cerpen: Ketentuan Ilahi (Bahagian 3)

Sambungan dari Cerpen: Ketentuan Ilahi (Bahagian 2)


1 Mac 2008. Pagi Sabtu yang sememangnya dinanti-nantikan oleh semua pelajar. Aku mengambil kesempatan di waktu pagi tersebut untuk meneruskan waktu tidurku usai saja aku melaksanakan kewajipan ke atas diriku. Maklumlah. Semalam berlangsungnya program SUTRA dengan gemilangnya. Seharian aku dan rakan-rakan seperjuanganku memerah keringat dan berpenat lelah demi memastikan segala perjalanan dan kelancaran program tersebut berada pada tahap yang terbaik. Oleh itu, di kesempatan waktu yang terluang pada awal pagi Sabtu ini aku manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Sengal-sengal badan aku masih lagi terasa. Namun, masa tidurku pada waktu pagi itu terpaksa disingkatkan kerana aku mempunyai tugasan akademik yang perlu aku siapkan dalam masa hujung minggu tersebut. Nampaknya, hari-hari mingguku kini bakal dihujani dengan pelbagai tugasan akademik yang diberikan oleh para pensyarahku. Tetapi, apakan daya. Demi mengejar impian dan cita-citaku, terpaksalah aku mengorbankan segala erti kesenangan dan keseronokan yang lazimnya menjadi ikon dan sinonim terhadap remaja.

Dalam kesibukanku dengan pelbagai urusan akademik, aku juga peka dengan pelbagai tarikh yang membabitkan penglibatan aku dalam sebarang aktiviti di dalam kolej. Dalam masa lebih kurang 2 minggu dari sekarang, sebuah lagi program kolej yang berstatus mega bakal menjengah kehidupan penghuni Kolej Rahman Putra bersempena dengan tarikh yang disambut oleh seluruh umat Islam sebagai memperingati idola dan pejuang yang sungguh mulia di muka bumi, iaitu junjungan besar baginda, Nabi Muhammad saw. Seperti biasa, khidmat aku terus ditagih oleh pihak penganjur program tersebut. Sebagai seorang pelajar yang sudah melaungkan azimat kesediaannya untuk berkhidmat dan berbakti terhadap pelajar dan pihak kolej, sekali lagi aku dan barisan kepimpinan kolej turut sama berganding bahu dalam merealisasikan pelaksanaan program tersebut. Segala persiapan dibuat untuk menjayakan program tersebut yang diberi nama SAMUDRA, yakni singkatan untuk Sambutan Maulidur Rasul. Insya Allah, aku berharap agar segala pengisian yang disusun sepanjang program ini berlangsung dapat memberikan manfaat terhadap para pelajar yang mengambil bahagian untuk setiap aktiviti dalam program tersebut kelak.

Bersambung...

0 comments: