Sunday, July 5, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 35)

Pagi Isnin itu disurami dengan suasana yang agak bening. Mendung di awal pagi. Sinaran mentari langsung tidak kelihatan di ufuk timur. Hujan mungkin akan bertandang di pagi itu jika keadaan masih lagi statik tanpa hadirnya mentari. Lisa, seperti biasa akan mula mengemas rumah. Rutin harian yang sudah sinonim dalam diari kehidupannya sejak bergelar sebagai seorang isteri. Amar sudah ke tempat kerja meskipun Amar boleh saja melakukan kerjanya di rumah setelah diberi keizinan oleh sahabatnya, Malik. Namun, Amar kekok. Tidak biasa bagi dirinya untuk melaksanakan tugasan pejabat di rumah. Terasa asing baginya. Sekali-sekala tidak mengapa, tapi jikalau sudah saban hari, tidak enak pula jika difikirkan perasaan pekerja-pekerja lain yang membanting keringat di pejabat.

Pagi itu juga Lisa tidak membuat persiapan juadah yang biasa dilakukannya sebelum ini untuk dijual kepada Mak Limah. Hari itu, dia ingin berehat dari urusan tersebut. Telah dia beritahu kepada Mak Limah mengenai hal berkenaan dan Mak Limah juga mengerti. Dia perlu berehat setelah beberapa minggu menjadi peniaga kecil-kecilan.

Lisa mengemas rumah bermula di bahagian atas rumah. Bermula dengan bilik Amir. Bilik Amir tampak kemas dan bersih susun atur perabotnya. Telah lama dia tidak menjejakkan kakinya di bilik anak terunanya yang seorang itu. Dia tahu Amir merupakan seorang anak yang rajin. Tidak sama sekali ingin membebankan kerja-kerja rumah terhadapnya. Lisa melangkah masuk setelah pintu bilik dikuakkan seluas-luasnya. Hatinya gembira. Gembira dengan suasana bilik Amir yang kemas dan teratur. Dia memulakan menyapu lantai bilik Amir sebelum memopnya.

Dalam kekhusyukkan memop lantai bilik Amir, dengan tidak semena-mena, Lisa terlanggar meja belajar yang terletak bersebelahan katilnya. Tiba-tiba, sebuah buku yang berwarna seakan-akan merah hati terjatuh ke lantai. Lisa tergamam sebentar melihatkan buku tersebut. Terhenti kerja-kerjanya. Dipandang buku itu lama-lama oleh Lisa.

“Buku apa pula ni?” getus hati Lisa seraya melangkah menuju ke buku tersebut lalu diambilnya. Niat di hati hanyalah untuk meletakkannya semula di meja berkenaan, namun, perasaan hatinya membuak-buak untuk mengetahui apakah isi kandung buku tersebut. Lisa menyelak helaian demi helaian muka surat buku berkenaan.

“Oh, diari rupanya. Amir suka tulis diari ya,” bisik dirinya sendirian.

Lisa sekadar menyelak helaian muka diari itu sepintas lalu. Namun, tiba-tiba matanya tertancap sebuah rangkap ringkas yang ditulis oleh Amir dengan menggunakan dakwat biru.

17 Julai
Hari ini aku digemparkan dengan kenyataan Dr. Syamsul mengenai status abah terhadap aku. Adakah aku ini bukan anak kandung mereka? Mengapa mesti aku dirahsiakan perkara ini? Benarkah aku ini anak angkat mereka?

Terkejut Lisa membaca warkah diari tersebut. Walaupun sedikit saja isinya, namun, impaknya mendalam sehinggakan Lisa tergamam seketika setelah membacanya. Air matanya menitis lalu hinggap di diari berkenaan. Sayu hatinya tatkala memikirkan semula baris-baris ayat yang diluahkan oleh Amir ke dalam diarinya itu.

“Amir, maafkan mama. Mama tak sanggup nak menceritakan kepada Amir. Biarlah masa yang menentukan. Segala rahsia ini akan terjawab nanti,” bisik Lisa dengan air mata masih lagi mengalir di pipinya.


Bersambung...

*Sekuel cerpan ini boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: