Sunday, July 5, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 36)

“Amir, duduk sebelah abah ni. Abah dan mama ada perkara penting nak beritahu kepada Amir,” pinta abah selepas usai saja makan malam. Aku terus berlalu mengambil tempat duduk di sofa. Hati aku terus bergolak kencang menantikan perkara yang ingin disampaikan kepadaku. Dari riak wajah abah dan mama, aku pasti, ini merupakan perkara yang sangat penting bagi mereka. Aku hanya menantikan pertuturan kata yang seterusnya oleh abah dan mama. Jam ketika itu sudah melepasi pukul 9 malam.

“Amir, apa yang abah nak sampaikan sebentar lagi, abah harap Amir tabahkan hati ya.”

Aku masih lagi membisu menantikan informasi seterusnya. Hanya mendiamkan diri saja tanpa bersuara. Mama mengangguk memberikan isyarat tanda ya kepada abah sebelum abah meneruskan lagi hasratnya itu.

“Amir, sebenarnya… Sebenarnya, ayah dan ibu kandung Amir bukanlah mama dan abah.” Abah terhenti ayatnya di situ. Aku terkejut. Aku benar-benar tidak percaya. Selama beberapa hari aku menidakkan apa yang terlintas di ruang akal dan jiwaku mengenai status diriku ini, akhirnya, di saat ini, semua yang aku fikirkan sebelum menjadi realiti yang benar-benar menguji diriku. Aku, aku hanyalah anak angkat mereka!

“Amir, maafkan kami sebab merahsiakan perkara ni daripada pengetahuan Amir. Kami risau kalau Amir tak dapat menerima kehadiran kami di sisi Amir,” ujar mama dengan air mata mula berputik di tubir matanya. Namun, ditahan agar tidak jatuh di sisi. Abah pula bungkam setelah menyampaikan suatu kenyataan yang benar-benar berat untuknya luahkan.

“Abah, mama. Sampai hati abah dan mama buat macam ni terhadap Amir. Amir terima abah dan mama dengan sepenuh hati Amir. Tak ada sedikitpun Amir sangsi dengan apa yang Amir terima, tapi tergamak abah dan mama menyimpannya daripada pengetahuan Amir dengan begitu lama,” luahku. Esakan kecil mula bernyanyi di ruang tamu ketika itu.

“Amir, kami bukannya nak menyembunyikan perkara ni daripada Amir seumur hidup. Cuma…”

“Sudah! Amir tak nak dengar lagi tu semua. Amir tak…”

Pang! Badanku seolah-olah melayang ke kiri. Aku meraba-raba pipi kananku. Pedih.

“Abang, kenapa abang lempang Amir?” Mama mendapatku yang masih lagi terpinga-pinga meraba pipi yang masih lagi dimamah kepedihan penampar abah tadi.

“Amir, Amir sedar tak apa yang Amir cakap tadi? Sanggup Amir meninggikan suara terhadap mama,” balas abah dengan suara yang agak meninggi. Aku terus berlari meninggalkan abah dan mama di situ. Naik ke atas memasuki bilikku. Terus aku mengunci pintu dan rebah di katil. Esakan kecil mula berkumandang di bilik.

“Abang, kenapa abang buat macam tu tadi? Kan Lisa dah ingatkan abang. Janganlah abang terlalu cepat sangat naik tangan,” ujar Lisa kepada Amar.

“Abang minta maaf, Lisa. Tapi, abang tak sanggup tengok Amir bersikap macam tu. Kalau ya pun, janganlah meninggikan suara. Tu saja,” ucap Amar mempertahankan tindakannya itu.

“Habis, macam mana ni, abang? Lisa risaukan Amir. Karang dia buat benda-benda…”

“Hish, Lisa ni. Ke situ pula dia. Jangan fikir yang bukan-bukan. Biarkan dia dulu. Biar dia tenangkan fikiran buat sementara waktu. Insya Allah, esok lusa, kita pujuk dia ya.”

Aku masih lagi membiarkan diriku ini diulit dengan perasaan hiba. Menangis semahu-mahunya. Tidak aku sangka selama ini aku hanyalah anak angkat mereka. Aku hanyalah menumpang kasih orang lain yang bukannya layak untukku terima. Kenapa aku dijadikan sebegini rupa? Ya Allah, kenapa mesti aku? Monolog hatiku.

“Ayah, ibu. Di manakah gerangan kalian? Amir rindukan ayah dan ibu,” ujar Amir dalam suasana sedu-sedan.


Bersambung...

*Sekuel cerpan ini boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: