Saturday, March 12, 2011

Jepun: Bersabarlah dan Bermuhasabahlah!


Jam menunjukkan pukul 3.30 petang. Aku baru pulang dari menikmati juadah makan tengah hari. Waktu makanku pada hari ini agak lewat kerana aku berhajat untuk mengisi perut usai menunaikan Solat Jumaat.

Seperti biasa, usai tiba di bilik, aku terus membuka komputer riba kesayanganku. Meneruskan proses penyiapan tugasan akademik. Namun, sebelum itu, aku mengambil sedikit masa dengan melayari internet. 'Facebook' aku buka. Mataku tertancap pada suatu pautan informasi yang menarik dan menggamit perhatian aku.

"Earthquake and tsunami attack Japan."

Aku terkedu. Petanda apakah ini? Adakah ianya berita lapuk, atau terkini?

Aku sengaja membuka pautan terbabit. Astaghfirullah. Jepun dilanda bencana mala petaka. Gegaran gempa yang berukuran 8.9 skala Richter membelah bumi Jepun, datang membawa bersama-sama tsunami yang menghempas setinggi 10 meter. Di saat itu, laporan terkini mengatakan hampir 400 mangsa terkorban.

Berkali-kali aku beristighfar. Meminta pertolongan Ilahi untuk menenangkan hati ini. Hati kini dinodai dengan keresahan dan kegelisahan yang amat. Laman 'Youtube' terus aku selongkar. Mencari-cari sekira adanya video rakaman mengenai bencana tersebut.

Ya Allah. Aku terkedu. Terkedu melihat sebagaimana dahsyatnya bencana yang diturnkan oleh-Mu. Aku terkedu beberapa ketika. Cuba mencari kekuatan dari dalam.

Imam As-Sayuthi pernah menceritakan sebuah athar yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dan al-Hakim:

Saiyyidina Anas r.a telah mengunjungi Saiyyidatina Aisyah r.a di dalam sebuah majlis, dan di dalam majlis itu telah bertanya seorang lelaki, “Wahai Ummul Mukminin, ceritakan kepada kami tentang gempa bumi”. Beliau berkata: “Apabila perempuan menanggalkan pakaiannya di tempat selain daripada rumah suaminya, terkoyaklah apa yang ada antaranya dan antara Allah daripada hijab (pendinding daripada azab), apabila perempuan memakai bau-bauan bukan untuk suaminya, maka baginya neraka dan kehinaan, dan apabila dihalalkan zina, meminum arak dan memukul alat muzik, maka ia telah menjadikan Allah Ta'ala di langit-Nya berfirman kepada bumi, “Gegarkan mereka”, sekiranya mereka tidak bertaubat dan meninggalkan maksiat, mereka akan dibinasakan dengannya oleh Allah Ta'ala". Maka bertanya pula Anas r.a: “Apakah itu hukuman terhadap mereka (penduduk yang ditimpa gempa bumi)?" Aisyah r.a menjawab: "Ianya rahmat, keberkatan dan peringatan kepada orang mukmin. Ianya siksaan, kemurkaan dan azab ke atas orang kafir”.


Nota Kaki: Bersabarlah wahai hati-hati yang ditimpa musibah dan bermuhasabahlah wahai sekalian manusia terhadap apa yang berlaku di hadapan mata kalian.

1 comments:

Hafiza Omar said...

sy xtau pun cte psl saidatina aisyah dan anas r.a ni..thanx atas perkongsian..=)