Saturday, August 20, 2011

Di Persimpangan Dilema

Sejak beberapa hari ini, aku sering termenung memikirkan beberapa perkara. Adakalanya, ketika aku bercakap dan berbual-bual dengan teman-teman di sekeliling, pasti ada ketikanya aku akan hilang fokus atau lupa sementara perkara yang ingin diutarakan. Amnesia.

Aku akui, ada beberapa perkara yang masih lagi menghantui diri aku. Sudah pasti bahawa salah satunya adalah mengenai projek sarjana aku. Tapi, itu bukanlah yang menjadi igauan.



Aku akui, selama mana aku berada di alam pengajian sarjana aku ini, sebenarnya, aku hilang hala tuju. Hilang matlamat. Hilang haluan. Sebelum ini, semasa berada di pengajian pra-siswazah, aku telah putuskan bahawa aku akan terus menyambung pengajian di peringkat seterusnya. Tika itu, ada lebih kurang setahun masa berbaki untuk aku menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda. Namun kini, kurang satu semester saja lagi untuk aku menamatkan haluan aku. Hujung jalan masih lagi samar. Tiada kata putus yang mampu untukku luahkan ketika ini.


Runsing. Teman-teman yang berada di sekeliling hampir kesemuanya sudah nekad untuk mendaki lagi tangga-tangga tahap pengajian seterusnya. Aku? Entahlah. Akupun tak tahu apa yang sebenarnya aku inginkan dalam hidup ini. Ibarat seorang nakhoda kapal yang kepincangan jarum kompasnya di luas lautan terbentang yang tiada tepiannya.

Tika ini, diri masih lagi dibelenggu oleh isu tersebut. Masih sempatkah untuk diri ini bertemu dengan sinar dan petunjuk oleh-Nya?

0 comments: