Saturday, June 20, 2009

Hembusan Diari di Minggu Ketujuh

Assalamualaikum dan Salam Bahagia kepada kalian semua...

Alhamdulillah, dapat juga akhirnya saya mencoretkan sesuatu di tag ini. Setelah mencoretkan sesuatu erti pada nukilan terdahulu, nampaknya, perlulah saya coretkan sesuatu mengenai latihan industri saya pada minggu ini.

Sebelum itu, bagaimana dengan kalian semua? Terutamanya, rakan-rakan seperjuangan yang sedang menjalani latihan industri ketika ini? Harapnya, semua berjalan mengikut jadual. Insya Allah. Walau apapun, saya ucapkan selamat berjaya terhadap kalian semua. Baki 3 minggu saja lagi yang ada kini haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya demi cebisan ilmu yang tidak datang sendirinya menjengah ruang hidup kita.

Baiklah, untuk minggu ketujuh ini, saya diberi cuti pada hari Isnin (15 Jun) dan Selasa (16 Jun) sebelum menyambung kembali perjalanan hidup saya di FRIM ini. Tentu ada yang tertanya-tanya mengapa saya bercuti. 2 hari pula. Sebenarnya, pada 15 Jun, saya sendiri yang memohon cuti saya kerana atas urusan keluarga manakala hari Selasa pula adalah Hari Kualiti & Anugerah FRIM, di mana separuh hari berkenaan digunakan bagi majlis tahunan FRIM. Maka, secara automatiknya, penyelia industri saya memberikan saya cuti bonus. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat-Nya.

Namun, baki 3 hari yang ada pada minggu ini, saya hanya dihuni rasa bosan kerana sepanjang minggu ini juga berlangsungnya audit dalaman pengurusan yang dilakukan oleh pihak FRIM terhadap semua sektor yang ada di bawah seliaan FRIM sendiri. Jadi, secara tidak langsung, penyelia industri saya terlibat dalam pengauditan tersebut. Tiada sebarang progres yang boleh dilakukan. Hanya sekadar penghantaran draf bagi bahagian 3.0 Research Methodology saja kepadanya.

Selepas saja saya menghantar draf tersebut pada hari Rabu, hari Jumaat baru saya terima jawapannya. Secara andaiannya, semestinya kalian semua sudah menduga apa jawapan yang bakal saya terima kelak. Ya. Draf saya itu sama sekali salah! Maka, penyelia industri saya pun memberikan contoh-contoh penulisan jurnal kepada saya untuk saya baiki semula draf tersebut. Masa yang diperuntukkan kepada sama adalah selama 5 hari bermula hari Sabtu (20 Jun). Pada waktu yang sama, penyelia industri saya menyatakan bahawa tidak mengapa jikalau saya salah di peringkat ini kerana dari situlah lahirnya proses pembelajaran yang efektif sekiranya kita mengambil inisiatif untuk memperbaiki diri. Sungguh bermakna kata-kata dan maksud ayat penyelia industri saya ini.

Oleh yang demikian, bermulalah episod pembaik pulihan draf laporan saya. Tak apalah. Ada hikmat di sebaliknya. Walau apapun, saya perlu belajar bermula dari peringkat asas, menokok hingga ke peringkat paling tertinggi yang ingin saya capai kelak. Begitulah proses yang ditentukan oleh hukum alam.

Baiklah. Cukup setakat ini saja coretan saya pada minggu ketujuh ini. Insya Allah, akan saya coretkan diari selanjutnya. Kepada kalian semua yang bakal mengharungi detik-detik sukar di tempat latihan industri masing-masing, saya doakan agar kalian semua berjaya mengharunginya dengan penuh tabah. Semoga kita dipertemukan lagi oleh-Nya.

Sekian dan wassalam...

3 comments:

Anonymous said...

salam

insyaallah im balik 4hb. habis li 3hb. tak sempat nk jdi ejen. nk jugak balik jap tgok2..ari mggu tuh. mggu depan. 27&28. Nk mtk surat pelepasan dari u..hahaha. eh same ngn nunu? krim salam k

Anonymous said...

salam

insyaallah im balik 4hb. habis li 3hb. tak sempat nk jdi ejen. nk jugak balik jap tgok2..ari mggu tuh. mggu depan. 27&28. Nk mtk surat pelepasan dari u..hahaha. eh same ngn nunu? krim salam k

Unknown said...

Owh...
Tak...
Aku kat FRIM...
Akma kat MARDI...
Jadi, ilmu mantiknya adalah:
Fahmi = FRIM
Akma = MARDI

Fahmi tak sama dengan Akma...
Hehehe...

Insya Allah...
Jadi, kau balik awallah...
Bestnya...