Saturday, July 30, 2011

Pesanan Yang Sememangnya Meninggalkan Pesanan

"Fahmi, che bila dah habih belajaq nanti, jangan lupa kat orang-orang macam kami nie. Orang-orang petani. Tanpa orang-orang macam Fahmi, bantu daripada orang-orang macam Fahmi, memang kami tak mampu nak maju. Setakat dengan apa yang ada nie, tak cukup dan tak mampu nak memajukan industri peladang."


Itulah antara pesanan yang masih lagi aku ingat hingga kini. Terasa bagaikan suatu tanggungjawab dan amanah yang perlu aku laksanakan. Namun, tika itu, tika pesanan tersebut diluahkan oleh salah seorang yang amat aku hormati sebelum kaki aku melangkah ke gerbang menara gading. Pesanan yang telahpun berusia 4 tahun lalu.

Kini, pesanan tersebut masih lagi menjadi genggaman azimat buat diriku. Meskipun aku bukan lagi berada dalam bidang yang secara telus ke arah pertanian, namun, ianya masih lagi mempunyai tanggungjawab terhadap kehidupan manusia yang lain.

Tanggal 10 Ogos 2010, iaitu sehari sebelum tibanya 1 Ramadhan 1431H, aku diutuskan dengan sebuah perkhabaran oleh adikku melalui ruangan Facebook. Ya Allah, aku tergamam. Seakan-akan tidak percaya dengan apa yang aku baca dan lihat.

Dua hari sebelum kejadian, abah ada menelefonku bahawa Wan Li sedang berada di rumah. Datang bercuti untuk melihat keadaan anak-anaknya dan juga cucunya. Ketika itu, aku berada di kampus kerana pembelajaran usai sebulan bermula. Waktu itu, Wan Li sememangnya masih lagi dalam kondisi stabil dan sihat.

Namun, sekembalinya Wan Li ke kampung, sudah ditakdirkan bahawa ajalnya sudah tiba. Pagi 10 Ogos itu, abah, mama dan adik serta pak ngahku yang berada di Selayang bergegas pulang ke kampung. Cuma aku saja yang tidak berkesempatan untuk memberikan penghormatan terakhir buatnya. Terkilan. Namun, mungkin sudah tersurat bahawa aku tidak sempat untuk menatap wajahnya buat kali terakhir.

Kini, usai setahun arwah Wan Li kembali ke rahmatullah. Semoga arwah Wan Li ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah...



Nota Kaki 1: Aku adalah cucu sulung bagi arwah Wan Li. Dan akulah cucunya yang paling jarang berada di sisinya kerana kesibukan abah semasa bekerja sebagai tentera dahulu. Namun, arwah Wan Li tidak putus-putus memberikan semangat dan harapan kepadaku dalam melalui susur galur kehidupan ini.

Nota Kaki 2: Arwah Wan Li juga pernah memberikan pilihan buatku semasa aku mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh di Tingkatan 4. Akhirnya, aku nekad untuk meneruskan pengajian aku di sekolah yang sama. Di sinilah lahirnya erti belajar di mana-mana sama saja, asalkan kita berusaha untuk mendapatkan apa yang kita mahukan dalam kehidupan ini.

4 comments:

salam takzaiah.. dan salam ramadhan mubarak..

Unknown said...

Afiqah Azumi

Salam Ramadhan al-Mubarak juga buat adik sekeluarga...

atiq atikah said...

takziah ....semoga rohnya dicucuri rahmat dr Allah :)

Unknown said...

 Atiq Atikah 

Amin...
:)