artikel terkini

Thursday, July 4, 2013

Erti Syukur


Alhamdulillah. Masih lagi diberi kekuatan dan nikmat kesihatan olehNya untuk terus melangkah di bumiNya.


Meskipun dibiarkan blog ini ber'sawang' tanpa adanya pengisian, Insya Allah, nukilan yang dikongsikan bersama ini mampu memberikan sedikit sebanyak kepada kita semua.

Syukur?

Mudah untuk disebut namun adakah kita mampu untuk menilainya?

Mudah untuk membilang namun adakah cukup untuk kita menghitungnya sehari semalam?

Ya. Syukur ini meluas. Bukan sekadar dengan lisan, malah, hati dan perbuatan ke arah kita bersyukur atau berterima kasih dengan pemberian tersebut juga termaktub dalam satu tujuan dan erti.

Mari kita hayati sejenak video muzik yang dikeluarkan oleh Hijjaz dalam nasyidnya berjudul 'Janji Khalifah' ini.



Mendalamkan maksud erti seni kata nasyid ini?


Lebih-lebih lagi insiden kejadian dalam video tersebut yang memaparkan 2 situasi berbeza.

Begitulah kehidupan sehari kita.
Kita tidak pernah lari atau hilang dari gambaran hidup sebegitu.
Mungkin bukan kita atau ahli keluarga kita, namun mereka-mereka yang berada di sekeliling kita.


Selagi kita mempunyai sesuatu di tangan kita, maka, jangan pernah lekang dan culas untuk bersyukur kepadaNya. Teringat kepada kata-kata seorang ustazah terkemuka di Malaysia, mengupas mengenai perihal bersyukur ini. Katanya:

Jagalah pandangan mata kita. Jangan biarkan mata kita melebih orang lain melebih daripada kita melihat diri kita sendiri. Jangan biarkan mata kita melihat mereka yang mempunyai segala-galanya, tetapi lihat mereka yang tidak mempunyai apa-apa. Nescaya, kamu akan lebih bersyukur dan mengenal erti syukur itu dengan lebih mendalam jika kamu berbuat demikian.
Mari kita panjatkan kesyukuran buatNya!
Read more

Sunday, March 10, 2013

Dab Yang Beriman

Nabi Muhammad SAW sedang berjalan bersama-sama dengan sekumpulan para sahabat. Tiba-tiba, mereka didatangi oleh seorang Arab Badwi daripada Bani Sulaim yang mara menghadap Baginda. Di tangan Arab Badwi tersebut adanya seekor dab (biawak padang pasir).

Arab Badwi tersebut bertanya kepada gerombolan yang sedang dalam perjalanan itu. Apabila beliau diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Muhammad SAW, lantas beliau merapati Baginda dan berkata,

"Demi tuhan Lata dan Uzza, tiadalah sesuatu yang terdapat dalam alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa, tentu sahaja aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat menggembirakan hatiku dan hati seluruh manusia berkulit hitam, putih dan merah serta selainnya!"

"Wahai Nabi! Biarlah aku mengakhiri hidupnya!" bentak Umar al-Khattab dengan nada marah.

Dengan tenang, Nabi Muhammad SAW menjawab permintaan Umar,

"Wahai Umar! Tidakkah negkau mengetahui bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi nabi?"

"Apakah yang menyebabkan engkau berkata sedemikian? Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!" Nabi Muhammad SAW berkata kepada Arab Badwi itu pula.

"Demi tuhan Lata dan Uzza! Aku takkan beriman kepadamu, Muhammad sehinggalah dab yang berada di tanagku ini beriman kepadamu." Orang Arab Badwi itu menjawab pertanyaan Nabi Muhammad SAW seraya melemparkan dab itu kepada Baginda.

Nabi Muhammad SAW memanggil dab itu lalu menjawab panggilan Baginda dengan fasih berbahasa Arab dan difahami oleh semua yang berada di situ ketika itu.

"Kepada siapakah engkau beriman?" Baginda bertanya kepada dab itu.

"Aku beriman kepada Tuhan yang di langit itu Arasy-Nya, di bumi itulah kekuasaan-Nya, dan di lautan itulah jalan-Nya, dan di syurga itu rahmat-Nya, dan dalam neraka itu azab-Nya!"

"Siapakah aku wahai dab?" Baginda bertanya lagi.

Dab itu seraya menjawab,

"Tuan adalah utusan Allah, yang memiliki sekalian alam! Amatlah beruntung orang yang mendukung perjuangan tuan dan binasalah orang yang mendustakan tuan!"

Mendengar butiran kata dari dab itu, Arab Badwi itu lantas berkata,

"Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci, namun hari ini engkaulah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri, engkau amat kukasihi zahirku dan batinku."

Kemudian, orang Arab Badwi itu mengucapkan kalimah syahadah di hadapan semua yang ada ketika itu.


Nota Kaki:
Menggambarkan bahawa hidayah Allah itu boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan situasi. Hanya orang yang memikirkan tanda-tanda kebesara Allah sahaja yang akan dapat memanfaatkan hidayah tersebut.

Buku 'Himpunan Kisah Benar tapi Pelik' nukilan Dr. Hj. Zahazan Mohamed ini merupakan gugusan koleksi kisah-kisah yang berdasarkan kitab-kitab sejarah muktabar, yang merekodkan pelbagai peristiwa yang luar biasa, yang mampu memberikan rasa kekaguman dan keinsafan kepada sesiapa yang membacanya. Sesuai untuk pembacaan bagi semua peringkat umur dan yang menariknya, di setiap akhir bab, akan diselitkan pengajaran dan ikhtibar yang boleh kita semua ambil sebagai pedoman hidup.
Read more

Monday, February 18, 2013

Sakit: Nota 'Cinta' Buat Para Hamba-Nya

Ingat lima perkara, sebelum lima perkara. Antara salah satunya adalah sihat sebelum sakit.

Sakit sudah menjadi sinonim dan lumrah dalam kehidupan manusia. Tanpa adanya ujian kesakitan, manusia alpa dengan nikmat kesihatan.

Nikmat sihat tidak mampu untuk dinilai dan dirasai oleh manusia. Ianya tidak seperti harta benda yang berupa nilai materialistik, yang mampu dinilai bersandarkan terhadap sesuatu terma, misalnya wang ringgit. Nikmat sihat itu hanya akan dijaja setelah nikmat itu di'sentap' atau ditahan pemberiannya, oleh Yang Maha Esa.



Pelbagai suasana dpaat disaksikan semasa berada di hospital ini.

Ada sebahagiannya datang berbalut di bahagian tertentu anggota tubuh.

Ada yang hadir untuk mendapatkan rawatan susulan kesan dari penyakit 'warisan' zaman kini.


Ada juga yang hadir dengan berkerusi roda.

Malah, ada yang diusung masuk ke dalam hospital sambil diri berbaring di atas katil.

Subhanallah.


Sakit buka sahaja boleh menjadi ujian terhadap para hamba-Nya, bahkan juga menjadi nikmat buat mereka yang mengerti  di sebalik makna sakit itu.

Sakit adalah penghapus dosa-dosa kecil mereka selagi mana mereka tidak mensyirikkan Allah.

Sakit juga adalah indikator tanda 'cinta' daripada-Nya terhadap hamba-Nya.


Allah amat merindui rintihan para hamba-Nya kepada-Nya.

Allah amat menantikan bait-bait doa dan tangisan kita, bagi diluahkan dan dihadapkan kepada-Nya.

Jadi, sakit bukanlah suatu BEBANAN, namun suatu PELUANG 'cinta' daripada-Nya bagi kita mendekati diri kepada-Nya.
Read more

Thursday, January 31, 2013

Memasak


Memasak ini adalah suatu seni yang pastinya dipelopori oleh kaum Hawa, secara majoritinya. 

Namun, golongan Adam juga setanding, bahkan mapu menempa nama dalam bidang ini.


Seperti di baris pertama ayat di atas, memasak ini suatu seni.

Seni?

Seni yang bagaimana?

Ya, seni. Bagaimana ianya boleh menjadi seni?

Baik. Cuba bayangkan bagaimana memasak mee segera. Ada yang memasaknya dengan hanya menggunakan air panas tanpa perlu menggunakan kuali atau periuk belanga.

Sekadar masukkan mee dan segala rencahnya, dan terus letakkan air panas mendidih ke dalam bekas yang mengandungi mee berkenaan. Tunggu sebentar dan terus menjamahnya.

Ada pula yang menjerang air dan memasak mee berkenaan. Kemudian, setelah mee tersebut masak, ianya ditoskan dan barulah dimasukkan pelbagai rencah dan bahan lain ke dalam mee tersebut sebelum dihidangkan.

Lihat.

Cara-cara di atas adalah cara memasak asas bagi mee segera tersebut. Ada pelbagai cara lain yang boleh diterokai apabila anda ingin memasak mee segera. Jadi, ianya adalah suatu seni, bukan?

Samalah caranya dengan perjalanan hidup ini.

Terhadap pelbagai ujian dan halangan yang sedia terbentang buat kita, manusia dan hamba kepada-Nya.

Bagaimana permulaannya, bagaimana pertengahannya, akhirnya akan ditamatkan berdasarkan bagaimana caranya kita melalui dan mengharungi jalan tersebut.

Mirip dengan memasak.

Bagaimana pengakhirannya bermula sejak dari awal perancangannya.

Jikalau hendak memasak sambal tumis, maka, persediaan bahan-bahan asas seperti cili dan bawang seharusnya disediakan terlebih dahulu.

Begitulah situasi analogi perjalanan kehidupan kita sebagai manusia di dunia ini.

Jadi, rancanglah sebaik mungkin perjalanan kita di sini, sebelum kita hendak menuju ke sana!

Read more

Monday, January 21, 2013

Susah?


Susah?

Hidup ini tidak pernah lekang dengan pelbagai ukiran getir dan cabaran yang semestinya menjadi darah daging kehidupan seorang bernama manusia.

Susah hadir sebelum sinar cahaya kesenangan wujud di hadapan kaca mata insan.

Dengan susah, kita belajar erti menghargai.

Dengan susah, kita mengenal erti tidak kenal kalah.

Dengan susah juga, kita merangkak memahami makna apa itu usaha.

Hidup ini saling melengkapi.

Sihat, diiringi dengan kesakitan.

Lapang, diikuti dengan kesempitan.

Kaya, dipimpin dengan kemiskinan.

Begitu juga susah. Ia dipasangkan dengan kesenangan.

Saban hari, apa yang kita lalui seringkali kita tidak menyedarinya. Misalnya, bagaimana sesebuah antena diletakkan di atas sebuah menara pemancar yang tingginya lebih dari 2000 kaki?

Ya, kita terlupa mengenai perkara itu.

Kita alpa terhadap hal yang sebegitu rupa sedangkan, saban hari kita menggunakan kemudahan telefon bimbit, menonton rancangan televisyen dan mendengar radio kesukaan kita.

Kita terlena.

Kita terleka.

Kita terbuai dengan rasa senang yang kita miliki.

Namun, di sebalik segala kemudahan dan kesenangan yang kita peroleh, ada insan yang sanggup menyabung nyawa dan keringat demi orang lain.

Bayangkan jikalau golongan ini tiada untuk berada dalam situasi tersebut semata-mata kemaslahatan sejagat?

Ambillah masa sejenak buat kita fikirkan bersama.



Nota Kaki:

World's Toughest Fixes yang ke udara dalam slot National Geographic Channel ini sememangnya banyak memberikan gambaran mengenai situasi di atas.

Tanpa adanya mereka seperti ini, kita semua mungkin tidak mampu mengecapi segala kemudahan dengan sebaiknya.

Dalam kehidupan seharian kita, adakah kita mampu menghulurkan sesuatu yag bermanfaat bagi diberikan terhadap orang di sekeliling kita?
Read more

Monday, January 7, 2013

Imbauan Tahun 2012


Sudah seminggu tahun 2013 menginjak masuk. 

Bagaikan tiada apa-apa perasaan dirasai. Tiada kata untuk menggambarkan bentuk rasa itu.

Biasa.

Kosong.

Sama.

Seperti hari-hari sebelumnya, yang dilalui.

Namun, sedikit sebanyak perjalanan tahun 2012 memberikan pelbagai 1001 memori untuk disingkap sebagai ubat kehidupan.
Antara memori yang paling memberi bekas adalah kehilangan komputer riba sewaktu pulang bercuti rehat setelah usai melengkapkan kajian penyelidikan. Hasil usaha selama hampir setahun, akhirnya lebur dalam masa beberapa saat saja.

Meskipun kesemua data yang berada di dalam simpanan komputer berkenaan tidak dapat diselamatkan akibat kecurian tersebut, alhamdulillah, syukur kepadaNya. Bantuan daripadaNya dalam bentuk yang tidak disangka. 

Seorang teman sekelas banyak memberikan bantuan, terutamanya dalam menyiapkan penulisan kajian. Tanpa bantuan daripadanya, mungkin agak sukar dan payah untuk menyiapkan segala-galanya bermula dari sifar.

Dari situ, satu pengajaran yang ingin disampaikan olehNya. Semua yang dirancang oleh kita, manusia, tidak sama dengan perancangan terbaik yang disusun olehNya.

Ya, nampak seperti musibah yang menimpa, tetapi, akal kita dangkal dalam mentafsir ilmu milik Allah.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
Surah al-Baqarah: Ayat 216.

Dan, alhamdulillah, berkat kesabaran, doa daripada abah dan mama, akhirnya, transkrip dan sijil berjaya diperoleh.

Kesemua penat lelah dalam mencari ilmu berserta halangannya, kini berbayar jua.

Ya, meskipun pada awalnya perjalanan tampak samar dalam menamatkan pengajian, akhir, alhamdulillah. Selesai jua.

Perasaan apabila menerima album transkrip dan sijil di tangan tatkala menuntutnya, merupakan suatu perasaan lega yang tidak terungkap dengan bahasa.

Gembira.

Tenang.

Mata melihat sekilas terhadap album tersebut.

Apa yang bakal dilalui kelak?

Apakah hala tuju hidup di kemudian hari?

Sahabat, teman, kenalan, masing-masing sudah punya perancangan tersendiri, meskipun ianya mengambil masa untuk merealisasikannya.

Aku?

Semoga kedatangan tahun 2013 ini dipermudahkan urusan perjalanan hidupku kelak. Amin.

Read more

Wednesday, October 24, 2012

Demi Ilmu, Demi Itu [Bahagian 2]



Hati mula diruntun pilu.

Diselubung gundah.

Dipalit resah.

Aku kembali melangkah ke surau. Terus menerpa ke arah seorang lelaki belasan tahun yang duduk berhampiran dengan beg milikku.

"Adik, tumpang tanya. Adik nampak tak beg warna hitam di sini?"

"Beg hitam? Yang besar tu ke? Tadi ada seorang lelaki ambil beg tu. Beg tu abang punya ke?" balasnya.

"Ha ah."

"Maaflah, abang. Saya tak tahu beg tu abang punya. Tadi, saya kerja lelaki tue nak pulangkan buku ni. Ingatkan dia tertinggal. Tapi, lepas saya keluar dari surau, terus tak dapat nak cari lelaki tu," ujarnya panjang.

Astaghfirullah. Sudah. Perkara yang aku tak inginkan berlaku, terjadi seperti apa yang aku fikirkan.

Ketika itu, hati aku hanya memikirkan segala hal yang berkaitan dengan thesis sarjanaku semata. Tiada lain yang mampu disulamkan bersama.

*****

Sudah 7 purnama peristiwa hitam tersebut berlalu.

Masih lagi segar dalam kotak ingatanku bagaimana ianya berlaku.

Satu pengajaran yang amat pahit untuk dihadamkan. Ianya sebagai ubat daripadaNya buat para hamba untuk menilai dan beringat kembali.

Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya mengakhiri pengajian sarjana aku. Syukur.

Alhamdulillah, akhirnya sampai juga surat graduasi.

13 Oktober 2012 adalah tarikhnya. Majlis graduasi bagi graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Aku tidak hadir ke majlis tersebut. Namun, imbauan pahit dalam menyelusuri laluan kegelapan tersebut dalam mendaki pendakian ilmu akhirnya berjaya aku kecapi. Alhamdulillah.

Selamat Bergraduasi bagi sahabat, Zulhilmi Harman dan seangkatan kenalanku di hari bahagia mereka di UTM.

Ehsan gambar.

Nota Kaki: Tahun hadapan, Insya Allah. Sedang berkira-kira nak menuju ke mana. Semoga dipermudahkan olehNya.
Read more